Sanusi, move on lah, kata Amanah kepada MB Kedah
Amanah negeri Kedah menyifatkan menteri besar negeri itu, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Noor tidak ‘move on’ lagi selepas pilihan raya lalu dan terus bermain sentimen perkauman untuk kepentingan parti itu.
Terkini, Sanusi didakwa terus bermain dengan politik perkauman dalam usaha Kerajaan Perpaduan mahu mencontohi pembangunan perumahan dari Singapura.
“Menteri Besar Kedah nampaknya terus tidak boleh move on lagi dan berterusan memainkan isu perkauman dalam ucapan-ucapannya,” kata Datuk Dr Ismail Salleh, Pengerusi Amanah Kedah dalam satu kenyataannya.
Terbaru tular di media sosial ucapan Sanusi yang mendakwa kononnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming ada agenda tersembunyi apabila mahu membawa konsep pembangunan perumahan dari Singapura.
Bagi Dr Ismail, Sanusi cuba meracuni pemikiran orang Melayu kononnya Menteri KPKT itu mahu membawa agenda pilihan raya Kerajaan Tempatan dari Singapura apabila mahu tiru pembangunan perumahan negara jiran itu.
Sanusi juga cuba meracuni pemikiran orang Melayu kononnya KPKT sedang melaksanakan agenda Silk Road dari negara China, katanya.
“Ada beberapa isu yang tidak menyenangkan saya dan saya percaya rakyat Malaysia juga tidak senang dengan pendekatan politik perkauman Pas ini.
“Pertama, bagi saya meniru pembangunan perumahan yang dilaksanakan oleh Housing Development Board (HDB) Singapura adalah suatu tindakan yang sangat baik untuk meningkatkan kualiti perumahan di Malaysia.
“Semua tahu kualiti perumahan rakyat yang dibuat oleh Singapura melalui HDB sangat tinggi berbanding dengan Malaysia. Apa salahnya kita belajar kebaikan yang dibuat oleh Singapura. Rasulullah sendiri berkata “Tuntutlah ilmu walaupun ke negegeri China”.
“Takkan kerana kita nak tiru perumahan di Singapura maka kita akan bawa semua perkara dari Singapura. Ini pemikiran cetek dan berniat jahat Sanusi yang sengaja mahu mengapikan semangat perkauman yang negatif untuk menjaga kepentingan politik Pas,” kata belas Exco kerajaan negeri Kedah itu.
Isu kedua, kata Dr Ismail, Sanusi berkata, KPKT melalui projek ini juga mahu melaksanakan dasar kerajaan tanah besar China iaitu “Silk Road” ke negara ini yang kononnya kini disekat oleh kerajaan Pas Kedah.
“Yang projek Nadir Bumi di Sik dengan syarikat dari China, Xiamen Tungsten Co Ltd tu apa. Yang kita nak perumahan baik untuk rakyat tak boleh, kononnya nak sokong projek ‘Silk Road’ China, yang dia dok bagi segala macam untuk syarikat dari China tu tak apa pula.
“Inilah yang saya katakan, Sanusi dan Pas ini tidak move on lagi. Ketika Tuanku Sultan Kedah nasihat agar berbuat baik dengan kerajaan Pusat untuk kepentingan rakyat, dia masih lagi dok main isu perkauman. Kalau betul tak apa juga, tetapi hanya khayalan Sanusi semata-mata,” katanya.
BACA JUGA Dasar perumahan ancam kepentingan rakyat, dakwa Sanusi