Dasar perumahan ancam kepentingan rakyat, dakwa Sanusi

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempunyai agenda yang tersembunyi melalui Dasar Perumahan Negara yang boleh mengancam keharmonian kaum ketika berceramah di acara Grand Finale Ekspo Sik Sejahtera semalam.

“Pakar daripada Singapura ini akan jadi perunding untuk KPKT. Matlamat terbesar DAP ialah mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan. Bayangkan Georgetown, Ipoh, Kuala Lumpur tu semua bandar-bandar besar ni semua akan ada satu kaum yang boleh bertanding satu kaum yang mengundi.

“Kalau pun ada kaum lain bilangannya sangat sedikit pada ketika itu ahli-ahli majlis semuannya daripada satu kaum, daripada satu kabilah, daripada satu puak dan pada masa itu undang-undang kecil PBT akan digubal oleh ‘depa’ ini,” dakwa Sanusi.

Dakwaan itu reaksi kepada pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming bercadang untuk menjemput pakar-pakar perunding untuk penyediaan perumahan awam sepertimana yang dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming mahu menaiktarafkan perumahan rakyat

“KPKT akan melihat beberapa contoh dasar perumahan negara-negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura terutamanya dalam perumahan awam dan mampu milik berdasarkan kejayaan Singapura dalam penyediaan perumahan awam atau sosial untuk 80 peratus rakyat Singapura yang layak dan memerlukan tanpa mengira bangsa,” kata beliau semasa wawancara dengan Astro Awani malam tadi.

Meskipun DAP memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan sebagai undi ketiga, Nga telahpun memberikan kata duanya bahawa pilihan raya ini tidak akan diutamakan. Umno dan Pas merupakan antara parti yang lantang menentang pilihan raya kerajaan tempatan.

HDB Singapura bertanggungjawab ke atas keperluan perumahan rakyat Singapura. Agensi tersebut menawarkan unit rumah pangsa yang mempunyai jumlah bilik berlainan bergantung kepada kemampuan pemohon. Jika dibandingkan dengan Malaysia, skim perumahan untuk rakyat miskin ialah Projek Perumahan Rakyat yang menawarkan unit dengan tiga bilik.

Untuk rekod, pilihan raya kerajaan tempatan ialah syor yang dibuat di dalam Suruhanjaya Penyiasatan Diraja ke atas Kerajaan Tempatan pada tahun 1968 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Athi Nahappan.

Dari sudut pertumbuhan penduduk, kadar kelahiran masyarakat Melayu jauh lebih tinggi berbanding masyarakat lain.

BACA JUGA: Beratus unit rumah tapi satu, dua lif saja boleh guna