Menu Rahmah: Makanan RM5 dan ke bawah

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan mekanisme yang lebih mesra pelanggan iaitu ‘Menu Rahmah’ dengan tawaran makanan berharga RM5 dan ke bawah kepada golongan memerlukan.

Cadangan itu diambil bersama Persatuan Restoran dan Kedai Makanan (BERMASAK) bertujuan memberi peluang kepada pelanggan memilih menu yang selaras dengan pendapatan mereka.

“Semalam, kita adakan satu sesi libat urus bersama persatuan-persatuan restoran antaranya Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia (PERTOM).

“Dalam perbincangan tersebut saya telah mencadangkan satu mekanisme yang boleh meringankan beban rakyat iaitu Menu Rahmah dengan harga yang dijual hanya RM5 dan ke bawah sahaja” tegas beliau.

Ini adalah inisiatif Rahmah yang diperkenalkan oleh Salahuddin sejak menjadi menteri. Beliau juga memperkenalkan Bakul Rahmah dan Payung Rahmah.

Terdahulu, beliau turut membuat lawatan mengejut ke beberapa buah restoran di daerah Sepang dan sekitar Bangi.

Tinjauan itu bagi meneliti garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pengusaha restoran antaranya penetapan harga makanan.

Hasil tinjauan yang dibuat oleh Salahuddin mendapati ada segelintir pemilik restoran yang tidak menetapkan harga makanan.

“Setakat pemantauan yang dibuat oleh pihak kami, masih ada lagi restoran yang gagal untuk meletakkan harga makanan mereka.

“Buat masa ini, kami mengambil pendekatan untuk memberi nasihat dan garis panduan kepada pengusaha restoran agar mereka jelas dengan ketetapan KPDN,” ujar beliau.

BACA JUGA: Salahuddin mulakan satu lagi perbincangan dengan industri peruncitan jayakan program Bakul Rahmah

Rakyat B40 bakal terima manfaat Payung Rahmah