Salahuddin mulakan satu lagi perbincangan dengan industri peruncitan jayakan program Bakul Rahmah

Demi merealisasikan program Bakul Rahmah yang disasarkan untuk golongan B40 dan golongan termiskin dalam negara, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub memulakan satu lagi siri perbincangan dengan pemain industri peruncitan.

Salahuddin berkata, perbincangan kali ini melibatkan pasar raya besar iaitu Econsave Pandamaran di Klang.

Beliau sebelum ini telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 99 Speedmart, Lee Thiam Wah untuk menjayakan program Bakul Rahmah.

Program Bakul Rahmah berkonsepkan kongsi rezeki bukan bersifat ‘one off’ sebaliknya bantuan akan diberikan kepada golongan B40 paling terkesan secara bulanan.

“Hari ini (semalam) saya mulakan tugas seawal pagi berjumpa dengan pihak pengurusan Econsave di Pandamaran. Saya nak betul-betul menjayakan Bakul Rahmah iaitu Bakul Kasih Sayang yang akan dapat kita edarkan kepada golongan termiskin dalam negara kita.

“Nantikan usaha ini. In shaa Allah ada pakej rahmah, ada jualan rahmah, ada kafe rahmah. Tunggu satu-satu yang saya akan jayakan. Doakan bersama, semuanya untuk rakyat termiskin,” katanya dalam satu video pendek dimuatnaik di Twitter.

Inisiatif terbaharu KPDN itu adalah bantuan berupa barangan keperluan asas antaranya minyak masak, tepung, gula dan beras.

Salahuddin memberi jaminan program ini akan dilancarkan sebelum tempoh 100 hari beliau memasuki pejabat.

KPDN serta Kementerian Ekonomi sedang dalam usaha memperinci beberapa langkah penyelesaian pantas dalam menangani isu kos sara hidup termasuk pelan tindakan kerjasama rentas kementerian.

Beberapa tindakan sudah dilaksana kerajaan dalam mengawal kenaikan mendadak harga barangan tertentu antaranya mengimport telur dari luar, serta Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pula akan menyalurkan peruntukan RM60 juta kepada pesawah, masing-masing RM10 juta bagi 2022 dan RM50 juta pada 2023.

Baca juga: PM Anwar perlu rangka strategi hadapi PRN, buktikan ‘gelombang hijau’ tidak wujud