‘Mohon maaf dalam tempoh 3 hari atau kami boikot’

Kerajaan Sweden diberi tempoh tiga hari untuk membuat permohonan maaf kepada semua umat Islam dan masyarakat antarabangsa ekoran sikapnya yang tidak menghalang tindakan melampau ahli politik negara itu membakar al-Quran, minggu lalu.

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sekiranya tiada sebarang permohonan maaf atau maklum balas segera dibuat, pihaknya akan menggerakkan satu boikot besar-besaran.

“Ini bukan berkait dengan Muslim. Kalau dia masih berdegil menunjukkan dia rasa ini kebebasan, kita akan pergi ke fasa seterusnya iaitu boikot.

“Mereka perlu buat permohonan maaf secara terbuka bagi pihak rakyat Sweden.

“Jika mereka berdiam dalam tempoh dua, tiga hari dan tidak memberi jaminan bahawa hal ini tidak akan berlaku lagi, kita akan adakan perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneliti kemungkinan melancarkan boikot barangan Sweden,” tegasnya.

Mohd Azmi berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan di Kedutaan Sweden pagi ini.

Terdahulu, lebih 20 NGO hadir menyertai penyerahan memorandum bagi membantah tindakan ahli politik ekstrem sayap kanan Denmark-Sweden, yang membakar al-Quran pada 21 Januari lalu.

Selain MAPIM, turut serta ialah Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ahmad Awang.

Sementara itu bercakap kepada media, Mohd Azmi berkata, beliau telah bertemu dengan Timbalan Kedutaan Sweden, Peter untuk menyatakan sikap bahawa perlakuan ahli politik negara itu adalah melampau dan sama sekali bukan kebebasan beragama.

“Sekiranya umat Islam di Sweden menyerang dan menghina agama dominan di negara itu iaitu Kristian, adakah kerajaan Kristian akan berdiam diri?” soalnya.

Justeru, beliau meluahkan rasa kesal mengapa kerajaan Sweden boleh bertindak seperti tiada apa-apa yang berlaku apabila kitab al-Quran dibakar di sana.

“Kami minta supaya anjurkan semula dialog, interaksi dengan semua pihak di Sweden. Lihat Malaysia sebagai contoh majmuk tapi dapat jaga semua kaum.

“Saya turut hadiahkan al-Quran terjemahan bahasa Inggeris untuk mereka baca dan fahami,” tambah Mohd Azmi lagi.

Baca juga 20 NGO serah memorandum bantah bakar al-Quran