Pahang-Selangor rintis kerjasama pengurusan kualiti air mentah, perhutanan

Penyaluran dan pengurusan kualiti air mentah menjadi antara lima perkara utama kerjasama yang dirintis oleh kerajaan negeri Pahang dan Selangor.

Perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat dua hala pertama kedua-dua kerajaan negeri sejak Kerajaan Perpaduan Pahang ditubuhkan pada hujung tahun lalu.

Menteri Besar Pahang dan Selangor dalam kenyataan bersama berkata pertemuan tersebut amat penting terutamanya dalam mengukuhkan hubungan dua hala yang strategik serta mampan agar memberi impak tinggi kepada rakyat di kedua-dua negeri.

“Usaha ini adalah langkah memulakan proses kerjasama dua hala yang lebih utuh bagi mengaturkan beberapa isu kepentingan bersama,” kata Datuk  Seri Wan Rosdy  Wan Ismail dan Datuk Seri Amirudin Shari.

Wan Rosdy dan Amirudin bergambar sebelum memulakan mesyuarat dua hala kerajaan negeri Pahang dan Selangor di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan pada 27 Januari 2023.

 

Selain air mentah, kata kenyataan itu, kerjasama juga akan diadakan melibatkan isu perhutanan dan persempadanan Selangor-Pahang, kerjasama hal ehwal latihan perkhidmatan awam dan gerak kerja kesukarelawanan bencana alam.

Selain itu, kedua-dua negeri turut bekerjasama dalam aspek kawalan pembangunan kawasan berisiko yang melibatkan cerun, keterjaminan bekalan makanan dan mobiliti melibatkan penggunaan jalan ke arah mengurangkan kesesakan jalan terutamanya laluan Gombak – Bentong

“Sesungguhnya kita sangat bertuah kerana Pahang dan Selangor bersempadanan antara satu sama lain serta banyak peluang-peluang ekonomi yang dapat diteroka dan dibina secara bersama kerana hasilnya akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negeri.

“Selepas mesyuarat tadi, tindakan-tindakan susulan akan diteliti oleh jawatankuasa-jawatankuasa teknikal termasuk peranan anak-anak syarikat kerajaan negeri masing-masing,” kata kedua-dua pemimpin negeri itu.

“Kami berharap agar hubungan dua hala yang terjalin ini dapat dieratkan lagi dalam masa akan datang demi kestabilan dan kesejahteraan bersama.”

BACA JUGA: Masyarakat Madani: Pembentukan insan potensi jamin kelestarian