Kesepaduan PH akan gagalkan usaha PN di Selangor

Kesepaduan yang terjalin antara tiga parti komponen penting Pakatan Harapan (PH), PKR, Amanah dan DAP akan dapat mengekalkan Selangor sebagai kubu kuat yang menafikan cubaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengambil alih negeri ini.

Ketua Penerangan PH Selangor, Azli Yusof, berkata pengalaman Pakatan Rakyat dan PH selama tiga penggal akan menafikan PN untuk menerajui pentadbiran negeri ini.

“Sepanjang tiga penggal PH menerajui Selangor, tata kelola PH semakin baik diterima oleh masyarakat dengan pelbagai inisiatif kerajaan negeri lakukan telah banyak membantu rakyat khususnya golongan B40 dan golongan pekerja.

“Daripada segi kesepaduan semakin lama PH semakin padu dan boleh bekerjasama antara satu sama lain untuk menghadapi apa jua cubaan yang ingin dilakukan oleh pihak pembangkang (PN) untuk menawan negeri Selangor,” kata beliau dalam sebuah temuramah eksklusif yang diadakan di pejabat Harapan Daily.

Beliau merupakan ahli parlimen Shah Alam baharu setelah berjaya dalam pertandingan empat penjuru di dalam pilihan raya umum ke 15.

Selangor diterajui oleh komponen PH dan sebelum itu PR sejak kekalahan BN dalam pilihanraya umum ke 12 pada tahun 2008. PH kekal berkuasa meskipun komponen PN – Pas dan Bersatu – pernah bergabung dengan PH untuk bersama dalam kerajaan

Beliau berkata demikian sebagai balas kepada dakwaan Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang yakin bahawa PN mempunyai peluang baik untuk menang dalam PRN ke-15 Selangor tidak lama lagi sekali gus mengambil alih Selangor daripada PH.

Selangor merupakan salah satu daripada enam negeri yang bakal menyaksikan pilihan raya negeri kerana tidak membubarkan dewan undangan negeri bersekali dengan kerajaan pusat. Negeri – negeri lain yang akan turut menyaksikan PRN ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Azli Yusof yakin rakyat Selangor akan terus bersama dengan PH berdasarkan penerimaan dan penyediaan program-program pembangunan masyarakat yang membela nasib dan kehidupan mereka di samping melihat perkembangan positif corak pemerintahan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

“Kelebihan yang PH ada dalam mentadbir Selangor akan digunakan sebaiknya. Rakyat semakin menerima pemerintahan kerajaan negeri ini.

“Sekarang ada pula Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan ini sudah pastinya akan dapat membantu memberikan keyakinan kepada rakyat Selangor untuk terus memberikan sokongan dan turut bersama-sama dengan kerajaan PH ataupun kerajaan pusat di peringkat persekutuan,” ujarnya.

BACA JUGA: Beban kos sara hidup, tumpuan utama Azli