Malaysia Madani mengangkat martabat negara di persada dunia
EKSKLUSIF Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu pendekatan yang menjadi tunjang dalam mengemudi Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, kerangka Madani yang diwujudkan ini akan menjadikan negara ini lebih maju dan adil dengan berteraskan kepada enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Menurut beliau, konsep Malaysia Madani ini merupakan usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
“Apabila nilai Malaysia Madani merangkum kesemuanya, ia akan menjadikan Malaysia ini sebuah negara yang adil, dihormati dan mendapat satu pengiktirafan di peringkat dunia.
“Dunia luar akan lebih menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh memajukan dirinya berdasarkan kepada konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau kepada Harapan Daily di dalam satu wawancara eksklusif.
Pengenalan slogan oleh Perdana Menteri dalam pentadbiran bukan suatu yang asing di Malaysia. Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menggunakan slogan Malaysia Gembira.
Semua perdana menteri lain turut menggunakan slogan. Antaranya Tun Abdullah Ahmad Badawi menggunakan Islam Hadhari manakala Datuk Seri Najib Razak terkenal dengan 1Malaysia.
Azli menafikan bahawa Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Anwar Ibrahim hanya retorik semata-mata.
“Saya cukup tertarik dengan konsep Malaysia Madani berbanding dengan konsep-konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sebelum ini yang lebih kepada bentuk slogan untuk mewujudkan sokongan masyarakat terhadap kerajaan.
“Kelainan konsep yang dibawa oleh PM ke-10 ini adalah supaya rakyat di negara ini menjadi masyarakat yang berfikir,” katanya.
Tambahnya, Malaysia Madani merupakan satu kerangka luas dan berharap semua masyarakat dapat memahaminya dengan mengadakan perbincangan, seminar atau ceramah di samping mengadaptasinya di peringkat kementerian dan jabatan untuk dijayakan secara bersama.
Pada 19 Januari, Anwar melancarkan ‘Wacana Membangun Negara Madani’ di Putrajaya. Konsep negara madani bertujuan mengangkat manusia, menegakkan keadilan dan memberi kebebasan secara bertanggungjawab.
Ia turut menekankan aspek tata kelola pelaksanaan dasar sedia ada terutamanya dalam kemelut politik dan ekonomi yang dihadapi negara sekarang.
BACA JUGA: Beban kos hidup rakyat, tumpuan utama Azli
Kesepaduan PH akan gagalkan usaha PN di Selangor
Â