Nurul Izzah ‘orang kepercayaan’, paling layak jadi Penasihat Ekonomi, Kewangan PM

Nurul Izzah disifatkan sebagai ‘orang kepercayaan’ kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melayakkan beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, berdasarkan pengalaman Nurul Izzah termasuk sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), ia membuatkan beliau layak menjadi penasihat kepada Ahli Parlimen Tambun itu.

“Nurul Izzah dilantik kerana dia merupakan orang kepercayaan (Anwar). Beliau dirasakan amat sesuai dan perlu berada dalam kotak struktur itu sendiri.

“Sebab apa? Sebab kita berada di dalam hierarki. Maknanya untuk menasihati perdana menteri dan sebagainya, ia perlukan hierarki itu. Bukan hanya menasihati secara individu semata-mata,” katanya dalam program Wacana Sinar pada semalam yang membincangkan topik Mampukah Konsep Madani Memulih Negara.

Pada masa sama, kata Taufiq, sejak berusia 18 tahun ketika pemecatan Anwar, Nurul Izzah antara anak muda yang banyak bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara luar.

Nurul Izzah juga merupakan wakil rakyat di peringkat Parlimen selama tiga penggal.

“Beliau merupakan seorang yang telah bertemu dengan banyak pemimpin negara luar seawal usia 18 tahun ketika pemecatan ayahandanya.

“Hal itu berterusan selama belasan tahun dan 24 tahun lebih. Beliau adalah orang terbaik untuk mengisi kekosongan tersebut

“Perlu diingatkan juga, beliau mengisi kekosongan tersebut tanpa ada sebarang bayaran gaji. Berbeza dengan penasihat-penasihat yang dibayar gaji,” katanya.

Baca juga: Ismail Sabri diramal gagal pertahan jawatan naib presiden Umno