Ismail Sabri diramal gagal pertahan jawatan naib presiden Umno

Meskipun pernah menjawat jawatan perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dijangka tidak mempunyai kelebihan untuk mengekalkan jawatan naib presiden dalam sesi pemilihan Umno tahun ini, kata penganalisa politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali.

Dr Mazlan sebaliknya berkata, calon-calon yang boleh memberi cabaran untuk merebut kerusi paling kanan itu adalah Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Ismail Sabri
Dr Mazlan Ali

Menurutnya, Ismail akan berdepan laluan sukar kerana beliau tidak berada dalam kumpulan pro presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Perkembangan yang berlaku dalam Umno sebelum ini jelas memperlihatkan Ismail Sabri ini walaupun pernah menjadi perdana menteri dan menyandang jawatan naib presiden, tapi saya fikir beliau dalam situasi yang agak sukar untuk mempertahankan jawatan ini.

“Kerana beliau ini telah dilabel sebagai bukan daripada kumpulan pro presiden,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini

Ismail gagal membawa kemenangan kepada Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu biarpun sebelum itu memegang jawatan perdana menteri.

Ketika pentadbiran Ismail, sebahagian penyokong menganggap Ahli Parlimen Bera itu sebagai sengaja membiarkan kumpulan Umno pro-Perikatan Nasional menyerang presiden dengan desakan agar Ahmad Zahid meletakkan jawatan.

Tindakan itu secara tidak langsung mencetuskan spekulasi bahawa Ismail Sabri mungkin berada dalam kem yang berbeza dengan Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu Mazlan juga menjangkakan Khaled Nordin tidak berdepan tekanan besar untuk mempertahankan jawatan naib presiden kerana beliau dilihat sebagai sehaluan dengan presiden.

Beliau juga melihat peluang besar boleh direbut oleh Zambry Kadir dan Azalina Othman.

Khaled, Zambry dan Azalina memegang jawatan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun prospek sama tidak diramalkan untuk seorang lagi naib presiden, Mahdzir Khalid dan ketua pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Mahdzir Khalid pula tak berapa jelas nampak kedudukannya dan kemungkinan untuk dia mempertahankan jawatan itu agak sukar.

“Asyraf Wajdi pula walaupun dianggap sebagai seorang yang menyokong presiden, tetapi dia secara peribadi seorang tokoh yang masih belum dapat mampu mencabar tokoh lama. Peluang untuk Asyraf itu agak tipis walaupun beliau sebenarnya boleh mencuba.

“Secara keseluruhannya saya jangka penyokong Ahmad Zahid akan menang jawatan dipertandingkan termasuk di kerus majlis tertinggi,” katanya.

Baca juga: Malaysia Madani dapat perhatian, jadi diskusi masyarakat antarabangsa