“Nurul Izzah orang yang saya percaya untuk membantu” – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan kerajaan pimpinannya banyak membabitkan penglibatan ahli keluarga termasuk pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Perdana Menteri menegaskan pelantikan itu dibuat atas dasar anak sulungnya itu merupakan orang dipercayai untuk membantu beliau.

“Nurul Izzah kini menjadi penasihat. Dia layak. Dia tidak dibayar untuk kerja itu. Dia seorang yang saya percayai untuk membantu saya,” katanya dalam temu bual bersama Bloomberg yang disiarkan pada Selasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemu bual oleh wartawan Bloomberg, Haslinda Amin di Singapura pada 30 Januari 2023. Foto Ore Huiying/Bloomberg

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Nurul Izzah boleh melaksanakan tugasan dan tidak akan menyalahgunakan kedudukannya itu.

“Dia tidak menyalahgunakan kedudukannya. Dia tidak menggunakannya untuk mencuba dan melarikan dana untuk diberikan kepada kroni.

“Itulah penyakit dan sistem busuk yang kami warisi dan dia berada di sana bersama-sama ramai rakan sekerja saya yang lain untuk mencuba dan merungkaikannya,” ujar Anwar.

Mengenai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, beliau menjelaskan isterinya itu melalui perjalanan evolusinya sendiri dan tidak melalui cabaran yang mudah.

Sebaliknya beliau berjuang serta menghadapi ujian dalam parti dengan agenda reformasi selama lebih 20 tahun, katanya.

“Kini beliau merupakan Ahli Parlimen (Bandar Tun Razak) biasa. Adakah itu masalah besar?,” ujarnya.

Semalam Perdana Menteri dipetik sebagai berkata beliau terbuka menerima setiap teguran dan akan memberikan penjelasan berhubung pelantikan Nurul Izzah selaku Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepadanya.

Menegaskan sekali lagi bahawa pelantikan itu dibuat tanpa sebarang bayaran, Anwar berkata beliau mahu Nurul Izzah memainkan peranan membantu kerajaan antara lain dalam memastikan ketelusan pentadbiran serta urusan perolehan tender kerajaan, berlaku secara teratur dan mengikut prosedur.

BACA JUGA: Izzah tiada kuasa, hanya beri maklum balas kepada PM sahaja

Nurul Izzah layak, berpengalaman sebagai anggota PAC