Harapan Daily

July 27, 2024 8:24 am | Tentang | Iklan | Hubungi | Pekerjaan
Search
Close this search box.

SPRM sahkan beku dua akaun Bersatu, siasat sumbangan dianggap suapan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan dua akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan perkara itu berkata pembekuan akaun tersebut bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.

Jelas beliau, suruhanjaya itu menyiasat beberapa sumbangan yang ditafsir sebagai suapan atau rasuah melibatkan parti tersebut.

“Kita membekukan bagi membolehkan siasatan dijalankan yang kita klasifikasikan wang diterima secara rasuah atau ditafsir sebagai suapan.

“Pembekuan itu dibuat sehingga siasatan selesai,” katanya lapor Astro AWANI pada Rabu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Azam berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

BACA JUGA: SPRM: Sedekah kepada pengundi tetap rasuah