Telapak tangan logo Malaysia Madani, jalan ke depan untuk negara

Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memperkenalkan logo Malaysia Madani yang menjadi satu slogan baharu dan kempen pembaharuan pentadbirannya.

Perdana Menteri berkata beliau mengusulkan Malaysia Madani sebagai jalan ke depan untuk Malaysia yang rencam kaum dan budaya.

“Kita pastinya berusaha agar nilai-nilai ini digerak serta dilaksana sebaiknya,” kata beliau dalam kenyataan sempena pengenalan logo Malaysia Madani.

Berdasar infografik yang dikongsi oleh Perdana Menteri, logo Malaysia Madani diilhamkan daripada telapak tangan dan lima jari.

Ia terdiri daripada:
Jalur: Lima jari dengan jalur merah putih merupakan simbolisme kepada Rukun Negara yang merupakan asas idelogi Malaysia

Bulatan: Bulatan biru menandakan kebulatan, muafakat dan perpaduan rakyat

Bulan sabit: Bulan merupakan simbol agama Ialam sebagai agama Persekutuan

Bintang: Bintang berbucu 14 menandakan perpaduan dalam kalangan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, warna biru menandakan kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan.

Warna merah pula melambangkang keberanian, jati diri dan keazaman manakala kuning merupakan tanda nilai tradisi, kebudayaan dan kearifan tempatan.

Warna putih yang melatari jalur pada jari adalah simbol keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni.

Malaysia Madani merupakan panduan dan ikhtiar secara bersepadu dan holistik sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi.

Ia bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradapan.

Kerangka Malaysia Madani menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan.

Setiap ciri pada logo Malaysia Madani diperincikan untuk kefahaman seluruh rakyat. Logo ini juga merupakan manifestasi wadah perjuangan segenap lapisan masyarakat bersama pemimpin negara.

Logo Malaysia Madani ini menjadi simbolisme, lambang penyatuan dan elemen penting untuk mengajak rakyat agar bersatu padu, menjiwai dan menetapkan agenda perjuangan serta semangat Malaysia Madani yang sebenar.

BACA JUGA: Malaysia Madani pendekatan terbaik selamatkan negara – Anwar