Adakah semua bangsa lain sudah dihalau dari negara ini?
Kabinet bayangan yang dibentuk oleh Perikatan Nasional (PN) telah memberikan satu tanggapan kepada umum, di negara ini hanya ada satu bangsa sahaja.
Bangsa-bangsa yang lain, sama ada Cina, India, Kadazan atau Iban tidak ada tempat dan boleh dihalau sahaja dari negara ini.
Inilah mesej yang boleh dibaca dan difahami oleh orang ramai apabila mereka melihat senarai anggota dalam Kabinet bayangan yang dikemukakan oleh PN kelmarin.
Kita tidak tahu apakah motif sebenar yang hendak disampaikan oleh PN melalui Kabinet bayangan itu.
Apakah ia satu kesilapan teknik atau sememangnya ia disengajakan oleh parti yang didukung oleh Bersatu, Pas dan Gerakan itu?
Takkan Gerakan yang ada di dalam gabungan itu tidak faham kedudukan kaum-kaum di negara ini yang menjadi penyumbang besar kepada kestabilan politik dan ekonomi negara selama ini?
Untuk mengatakan ia satu kesilapan, PN diketuai oleh seorang bekas perdana menteri. Di dalamnya juga ada ramai bekas menteri dan di sana juga ada bekas duta khas ke Timur Tengah yang bertaraf menteri.
Sudah tentu mereka faham bahawa negara ini berbilang kaum di mana Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain hidup harmoni sejak sekian lama.
Jika begitulah sikap PN, nampaknya bangsa-bangsa ini akan dihalau keluar dari negara ini apabila parti itu memerintah nanti.
Itulah tanggapan kita apabila melihat senarai Kabinet Bayangan PN. Adakah kita semua mahu keadaan ini berlaku kepada negara kita?
Kita yakin itu bukan impian kita. Kita menerima hakikat negara kita berbilang kaum tetapi PN tidak menerima realiti ini.
PN nampaknya mahu melaksana apa yang disepakati di dalam Perlembagan Bersatu dan Pas bahawa bangsa lain tiada hak untuk memimpin, mereka hanya boleh menurut sahaja.
Pendekatan sebegini sudah tentu tidak disenangi masyarakat bukan Melayu seolah-olah mereka tidak dialu-alukan di negara ini.
Adakah ini yang kita mahukan untuk negara kita, padahal kestabilan politik dan ekonomi menjadi resipi utama kemajuan dan kemakmuran sebuah negara?
Jika ini yang dilakukan, negara kita menuju kepada pendekatan songsang dan bakal tergugat kestabilannya.
BACA JUGA Bila angkat sumpah ni? Portfolio MP Bersatu-PN kena perli