‘Pilih calon MB pun tidak sepakat, PN tidak layak tadbir Selangor’
Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim menganggap ketidaksepakatan Perikatan Nasional (PN) dalam soal pencalonan Menteri Besar, sebagai isyarat gabungan itu tidak layak mentadbir negeri.
Media melaporkan PN kemungkinan akan mencalonkan semula Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan sebelum Jun tahun ini.
Namun, Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS), Mohamed Sukri Omar pula dilihat cuba mengetengahkan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai calon lebih layak menjadi Menteri Besar.
Melihat pertembungan dua kenyataan itu, Wan Anwar berkata nampaknya PN akan menjejaskan persiapan mereka sendiri menjelang PRN Selangor nanti.
“Ini menunjukkan bahawa PN bukan satu pakatan yang bersatu sebenarnya.
“Melihat dari sudut isu pemilihan Menteri Besar, jelas mereka tidak sepakat dan tidak sehaluan. Dan ini akan menjejaskan persiapan mereka ke arah PRN akan datang.
“Ini juga adalah satu petunjuk yang memberikan isyarat kepada rakyat bahawa PN sama sekali tidak boleh diharap untuk diberikan mandat mentadbir urusan rakyat dalam negara kita,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Wan Anwar menambah, Pakatan Harapan (PH) sentiasa mengutamakan prinsip kebersamaan dan kesepakatan untuk memberi isyarat kepada rakyat bahawa PH adalah pakatan kukuh yang konsisten dan boleh diharapkan.
Sementara itu, ditanya tentang persiapan PH Selangor menjelang PRN, beliau berkata, gabungan tersebut sudah pun bersiap sedia sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
PH juga katanya, sedang berusaha meneliti bagaimana untuk membentuk kerjasama terbaik bersama Barisan Nasional (BN) untuk PRN tidak lama lagi.
“Dalam konteks pembahagian kerusi, dijangka hampir dimuktamadkan. Ketika ini, kita sebut (berbincang) soal penglibatan BN yang bersama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Umno Selangor bersedia bincang agihan kerusi bersama PH