PH bukan dapat 19 tetapi 31 peratus undi Melayu dalam PRU15

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan gabungan itu hanya mendapat 19 peratus sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Berdasarkan analisis pasukan saintis data yang diwujudkan, katanya, PH mendapat kira-kira 31 peratus atau lebih 5.8 juta undi Melayu pada pilihanraya lalu.

“Dapatan itu secara langsung menafikan tuduhan mengatakan PH ditolak masyarakat Melayu, selain dakwaan mengatakan PH hanya mendapat 19 peratus undi Melayu.

“Ada yang rendah (peratusan pengundi Melayu kepada PH) seperti di Kelantan dan Terengganu, namun ada yang mencecah lebih 50 peratus dengan tertinggi di Wilayah Persekutuan, diikuti Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

“Kita dapat lihat sebenarnya tidak benar yang diuar-uarkan kononnya PH mendapat 19 peratus dukungan kaum Melayu. Jika ya, tidak mungkin kita dapat memperoleh kerusi seperti mana yang dicatat dalam pilihanraya baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Pengerusi Biro PKR di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Menurut Anwar yang juga Presiden PKR, jumlah dua pertiga ahli parlimen yang diperoleh dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini membuktikan kekuatan dan kestabilan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Maka, katanya, jumlah undi secara keseluruhan dalam gabungan pelbagai parti itu juga mencecah 2/3 daripada jumlah undi yang dibuang pada pilihanraya lalu

“Jika dikumpulkan kekuatan Kerajaan Perpaduan adalah membabitkan komponen PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain yang bersama, sudah pun mencecah dua pertiga daripada keseluruhan undi dalam PRU15.

“Kalau itu keadaannya, maka dengan dua pertiga Ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga pengundi dalam PRU15, kita yakin dapat terus mengemudi negara ini sebagai satu pasukan yang mantap.

“Kita akan menggunakan ruang yang ada untuk membersihkan negara daripada budaya rasuah dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih meyakinkan,” kata Anwar lagi.

BACA LAGI Retreat AMANAH Kedah susun pendekatan terbaik hadapi PRN