Kerjasama Umno-DAP mengorbankan kerusi PKR, Amanah?

EKSKLUSIF Pengarah komunikasi Pakatan Harapan Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria mencadangkan agar Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat mendapatkan khidmat pusat kajian secara bebas untuk mengkaji keperluan bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional di Pulau Pinang.

“PH di peringkat pusat perlu mendapatkan khidmat pusat kajian seperti Merdeka Center untuk mengkaji keperluan dan keberkesanan kerjasama dengan Umno dan BN. Ini kerana Umno dilihat sebagai bermasalah dan menampilkan prestasi yang tidak baik dalam empat pilihan raya umum,”kata Dr Zaidi dalam temuramah eksklusif di sebuah hospital terkemuka di Pulau Pinang.

“Adakah Umno boleh memberikan nilai tambah kepada PH? Dalam politik, kalau meramaikan kawan, itu adalah positif. Kalau jadi liabiliti maka akan kalah.”

Beliau tidak pasti samada kerjasama dengan Umno akan menjadi liabiliti atau faktor kemenangan kepada Pakatan Harapan.

Di peringkat negeri Pulau Pinang, beliau turut menimbulkan persoalan berkaitan kerjasama membabitkan Umno.

“Adakah DAP akan menawarkan kerusinya kepada Umno? Lim Guan Eng telah pun mengumumkan bahawa DAP Pulau Pinang akan bekerjasama dengan Umno Pulau Pinang, bukan BN,” kata beliau merujuk kepada pengerusi kebangsaan DAP merangkap ahli parlimen Bagan dan Adun Air Puteh.

“Dia tiada locus standi untuk buat pengumuman begitu. Kalau DAP mahu serahkan kerusi, kita tiada masalah tapi yang akan serahkan kerusi ialah Amanah dan PKR.”

“Tanpa kerjasama dengan Umno, Amanah akan bertanding paling banyak di lima kerusi iaitu di Penaga, Permatang Berangan, Sungai Dua, Permatang Pasir dan Bayan Lepas. Kita hanya menang di Permatang Pasir dan Bayan Lepas,” kata Zaidi yang juga Naib Pengerusi 1 Amanah Pulau Pinang.

Dalam keadaaan sekarang, Umno akan bertanding di Penaga, Permatang Berangan dan Sungai Dua. Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Azalina Othman Said akan mengetuai Umno dalam rundingan kerusi untuk pilihanraya negeri Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah mengumumkan bahawa pembubaran DUN dijangka akan berlaku pada 21 Februari dan PRN dijangka berlangsung pada bulan Jun atau Julai.

Zaidi turut menyatakan bahawa jentera parti di peringkat negeri dan akar umbi akan mengakuri halatuju yang ditentukan oleh kepimpinan pusat di dalam PRN ini.

BACA JUGA: Sekilas pandang PRN Pulau Pinang