Segalanya halal demi kuasa Pas

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mendapatkan kuasa, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, amalan Pas mencemarkan imej Islam kerana ia didakwa menjadi parti Islam tetapi mengamalkan prinsip dan kaedah yang bertentangan dengan agama itu sendiri.

“Dia (Pas) tiada rasa segan-silu, rasa bersalah walaupun dengan fitnah orang dan kena saman. Ini dilihat, diakui dan malah bangga dengan melakukannya.

“Kita pun hairan bagaimana dikatakan orang Islam tetapi pimpinan parti Islam boleh sanggup mengamalkan dasar melakukan apa sahaja demi mendapatkan kuasa dan kalahkan saingan,” katanya dalam Program Bicara Khalid Samad: Matlamat halalkan cara: Kaedah baru Pas? yang disiarkan secara langsung menerusi JOMchannel, malam tadi.

Menurut Khalid, perbuatan yang dilakukan oleh Pas sejak kebelakangan ini turut memberikan persepsi negatif orang bukan Islam terhadap Islam dan perkara ini berlainan sama sekali sewaktu zaman allahyarham Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) suatu masa dahulu.

“Dulu zaman TGNA (Allahyarham) semua orang termasuk yang bukan Islam tertarik dengan perjuangan Pas. Dengan konsep perjuangan yang dibawa oleh Pas, Islam yang menegaskan persoalan keadilan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Tetapi sekarang ini orang bukan Islam tengok pada Pas ini memang nampak macam langsung tidak berprinsip,” katanya.

Khalid berkata, beliau tidak boleh menerima cubaan Pas melindungi perbuatan rasuah dengan melabelkannya sebagai sedekah.

“Kamu (Pas) nak buat jahat dan rasuah tapi janganlah nak cuba menghalalkannya dan meletakkannya pada satu kedudukan yang mulia,” ujarnya.

Pada 24 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata pemimpin Pas boleh mentafsirkan tindakan pemberian wang tunai ketika kempen PRU15 mengikut cara mereka, namun perkara itu sedang disiasat berkaitan pembelian undi.

Beliau dilaporkan berkata, SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.

BACA JUGA: SPRM: Sedekah kepada pengundi tetap rasuah