Selepas suku abad, PM Anwar jejak kembali ibu pejabat Umno

Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini menjejakkan kaki kembali ke ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur selepas suku abad dipecat daripada Umno pada 1998.

Beliau tiba di Menara Datuk Onn pada 7.40 malam tadi dengan berjalan kaki dari Hotel Seri Pacific bagi mempengerusikan mesyuarat sulung Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan diiringi beberapa pemimpin kanan blok kerajaan itu antaranya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Anwar yang juga Menteri Kewangan petang tadi mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Hotel Seri Pacific.

Anwar tiba di ibu pejabat Umno bagi mempengerusikan mesyuarat sulung Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, pemimpin Barisan Nasional (BN) yang dilihat hadir malam ini antaranya, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu menjadi wadah menyatupadukan semua 148 Ahli Parlimen kerajaan dalam memperkasakan kerajaan sedia ada.

Untuk rekod, penubuhan Sekretariat Kerajaan Perpaduan antara lain bertujuan menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang sudah disepakati sejurus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

BACA JUGA Mesyuarat Majlis Presiden PH menjelang PRN