Fahmi anggap pelopor animasi sumber inspirasi

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyifatkan pencapaian Allahyarham Datuk Kamaruddin Ismail menjadi sumber inspirasi kepada rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan menghargai langkah enjin carian Google yang mengangkat pelopor animasi pertama itu.

“Terima kasih Google Malaysia kerana meraikan Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia, Allahyarham Datuk Kamarudin Ismail atau lebih dikenali Kamn Ismail sempena ulang tahun kelahiran beliau.

“Pencapaian Allahyarham terutamanya dalam industri animasi negara menjadi sumber inspirasi untuk kita semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

‘Google Doodle’ bagi memperingati jasa Kamn Ismail yang mempelopori industri animasi negara pada eranya.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian mengulas penghargaan Google menerusi ‘Doodle’ terhadap Allahyarham yang popular dengan siri animasi Usop Sontorian dan Keluang Man era 1990-an.

Terdahulu, Google Malaysia melahirkan rasa terhormat kepada Kamn Ismail dengan memaparkan sebuah Doodle bagi memperingati jasa beliau dalam mengangkat industri animasi Malaysia.

Anak kelahiran Pengkalan Balak, Melaka pada 8 Februari 1956 itu menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 8 Disember 2019 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung.

Pengarah Animasi Siri TV pertama Malaysia itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya.

BACA JUGA Fahmi ingatkan rakyat waspada elak jadi mangsa serangan siber

Â