Misteri Michael Soosai – Bahagian 2
Balu kepada Micheal Soosai, S. Kumari memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jun 2010 bahawa mayat suaminya sudah dibakar di sebuah krematorium di Cheras sebelum dia sempat tiba di sana bagi menyaksikan ritual berkenaan.
Sementara itu, S. Pallipillamah (balu kepada Subramaniam Nookaiah) adalah satu-satunya saksi yang mengaku telah melihat Michael masih hidup di Chennai pada Disember 2004.
Pada Julai 2010, bekas atendan Hospital Kuala Lumpur bernama K. Subramaniam, peniaga besi buruk bernama V. Sanjeev Kumar dan J. Kumaresan iaitu bekas tunang kepada anak perempuan Michael dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 setiap seorang selepas didapati bersalah dalam kes memalsukan kematian penjenayah itu.
Hakim menyifatkan keterangan Kumari sebagai “amat meragukan” manakala timbalan pendakwa raya melahirkan rasa kecewa kerana tindakan ketiga-tiga tertuduh telah menyebabkan seorang penjenayah (Michael) terlepas.
Bukit Aman meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa India untuk mengesan dan memberkas Michael yang dipercayai sudah melarikan diri ke negara itu selepas memalsukan kematiannya.
Anehnya, pada awal Ogos 2010, Jabatan Siasatan Jenayah Tamil Nadu menafikan sekeras-kerasnya wujud sebarang fail kes jenayah membabitkan Michael di India, serta menegaskan tidak pernah menerima permintaan daripada Bukit Aman untuk mengesan penjenayah itu.
Walau bagaimanapun, sepertimana tercatat dalam buku Chronicle of Malaysia (2014), pada 31 Ogos 2010, Pesuruhjaya Polis Bandaraya Coimbatore, Dr C. Sylendra Babu mengesahkan Michael yang menggunakan nama Rajasekhar berjaya ditangkap di sebuah hotel di Chennai.
Dia ditahan kerana kononnya melakukan jenayah menipu beberapa orang di India dengan tawaran kerja palsu di Singapura tetapi kemudian melarikan barangan kemas dan wang mangsa.
Satu unit khas jenayah siber telah memantau pergerakan Michael selama tiga bulan menggunakan nombor telefon bimbitnya. Dia didapati berpangkalan di Andra Pradesh tetapi sentiasa bergerak antara Nepal, Bhopal, Goa dan beberapa tempat lain supaya sukar dikesan pihak berkuasa.
Turut ditahan dalam serbuan itu ialah isteri bernama Rajeswari dan tiga anak. Polis juga merampas satu kilogram emas, dua komputer riba dan beberapa buah telefon bimbit yang dipercayai ada kaitan dengan kes jenayah dilakukan Michael.
Media di India dan Malaysia melaporkan bahawa cap jari membuktikan Rajasekhar @ G. Kuruna Raj yang ditempatkan di Penjara Pusat Chennai ialah Michael yang melarikan diri dari Malaysia selepas memalsukan kematiannya.
Dia dikatakan memasuki India menggunakan pasport palsu pada tahun 2003 bersama-sama seorang anak tiri. Mereka tinggal bersama seorang wanita bernama Machiganthi @ Jayanthi @ Rajeswari.
Michael menggunakan beberapa identiti seperti G.K. Raj, Dr. Rajasekaran, Karunairaj, Michaelraj dan Dharmadevan untuk melakukan jenayah di Tamil Nadu dan Karnataka.
Akhbar The Asian Age (22 November 2016) melaporkan bahawa dia turut menggunakan nama Dr Rajasingham yang kononnya menulis buku ekonomi dan menjadi penasihat ekonomi bagi kerajaan Nepal.
Michael juga menyamar sebagai Dr Sivaraj, timbalan pengerusi bagi beberapa syarikat yang kononnya beribu pejabat di Singapura.
Malah, dia juga pernah memperkenalkan diri sebagai Dr N. Mahadevan dari Singapura dan mengaku menjadi pemberi maklumat (whistleblower) kepada polis Malaysia.
Di Goa dan Bhopal pula, dia menggunakan identiti Dr Karunaharaj untuk menipu mangsa.
Michael Soosai menghubungi penulis menerusi laman berita Harapan Daily
Hampir setahun kemudian, pada Julai 2011, media tempatan mula mempersoalkan mengapa Malaysia masih membisu dan belum memohon perintah ekstradisi untuk membawa Michael pulang dan dibicarakan atas pelbagai tuduhan jenayah.
Menurut laporan Bernama, Konsul Jeneral Malaysia di Chennai “beberapa kali menulis surat kepada pihak berkuasa di Malaysia” tetapi “belum menerima sebarang arahan dari Malaysia bagi tindakan susulan dalam kes ini”.
Situasi ini pasti membuatkan orang ramai (termasuk saya yang menyelongkar dan membaca segala bahan arkib) tertanya-tanya mengapa situasi ini berlaku sedangkan perjanjian ekstradisi sedia wujud antara Malaysia dan India sejak Januari 2010; malah nama Michael berada di tangga teratas senarai Polis Antarabangsa (Interpol).
Sementara itu, Mahkamah Rayuan pada 30 Januari 2015 membebaskan Sanjeev dan Kumaresan daripada tuduhan memalsukan sijil kematian Michael pada September 2003.
Kemudian, pada April 2015, Kerajaan Tamil Nadu mengarahkan supaya Michael yang ditempatkan di sebuah kem tahanan khas di Trichy dibebaskan dengan segera.
Media di India yang melaporkan berita itu turut menyentuh tentang kes pembunuhan Subramaniam. Michael menafikan penglibatan dirinya tetapi mengatakan kononnya seorang pegawai tinggi polis sendiri terlibat dalam pembunuhan itu.
Dalam perbicaraan kes di Mahkamah Majestret Coimbatore pada 28 April 2015, Michael menegaskan dia ialah Karunairaj Gnanamuthu dan berasal dari Kanchipuram. Dia mengatakan telah belajar undang-undang sebelum menetap di Malaysia dan menjadi penasihat undang-undang kepada seorang usahawan bernama Vincent dari Singapura.
Katanya, apabila dia datang ke Chennai pada tahun 2004, seorang pegawai tinggi polis (Sylendra Babu) yang ada masalah perniagaan dengan Vincent sengaja mengaitkannya dengan pelbagai kes jenayah.
Pelbagai catatan berbentuk petisyen dipaparkan di sebuah blog menggunakan nama “G. Karunairaj S/O Gnanamuthu” dari 16 Mei 2014 hingga 27 Januari 2016.
Menurut laporan media, selepas polis Malaysia menyedari penipuannya pada Jun 2005, Michael menghantar seorang wakil ke Malaysia untuk menyamar sebagai editor Newsweek bagi mendapatkan salinan beberapa dokumen sulit dari fail polis.
Dia juga menyamar sebagai seorang penerbit filem dan mengupah seseorang di India untuk mencipta laman sesawang khas, kononnya untuk mempromosi sebuah filem seram.
Sebenarnya, laman itu mendedahkan pelbagai dokumen sulit yang dipercayai membuktikan bagaimana sejumlah pegawai polis berpangkat tinggi bersekongkol dengan Micheal dalam aktiviti jenayahnya, termasuk membebaskan beberapa banduan dari penjara.
Sehingga November 2016, Malaysia masih belum berjaya membawa Michael pulang untuk dibicarakan di sini. Sebaliknya, dia yang ditempatkan di kem tahanan khas di Chengalpet memulakan kempen “puasa sampai mati” demi menuntut keadilan.
Antara berita terakhir yang saya baca tentang kes Michael adalah laporan di media tempatan pada Ogos 2018 di mana dia masih mendahului senarai orang yang dikehendaki Interpol dan tetap diletakkan di bawah notis merah.
Hampir dua setengah tahun kemudian, akhbar Utusan Malaysia (28 Januari 2021) memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai berkata, “turut berada dalam senarai notis merah Interpol ialah Michael Soosai kerana terlibat memalsukan dokumen sijil kematian bagi mengelakkan prosiding kes pemerasan dan tipu pada 2003”.
Apakah pihak berkuasa sudah mengaku kalah dan Michael bebas buat selama-lamanya, atau masih ada usaha yang sedang dilakukan untuk menangkapnya?
Apabila Bahagian 1 rencana ini tersiar pada 1 Februari 2023, saya dihubungi individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Michael. Hasil perbualan kami serta pelbagai pendedahan yang dilakukannya boleh dibaca dalam Bahagian 3 secara eksklusif di Harapan Daily.
Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca
BACA JUGA: Misteri Michael Soosai – Bahagian 1