Pas hanya tunggang isu ‘Islam terancam’, 33 bulan tadbir tak buat apa pun – Ulama

Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ahmad Awang mempersoalkan tentang kesahihan dakwaan Pas bahawa Islam terancam ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada 2018.

Beliau membangkitkan semula tindakan Pas yang sebelum ini agresif menyebarkan ketakutan dalam kalangan pengundi Melayu, dengan momokan Islam terancam dan kedudukan Melayu tergugat.

Pas ketika itu juga menyerang PH dengan isu kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya yang masih belum mendapat pembelaan.

Namun kata Ahmad apabila Perikatan Nasional (PN)-Pas menjadi kerajaan 33 bulan, tiada satu pun pendakwaan dibuat terhadap wakil rakyat DAP, apatah lagi memperjuangkan isu Muhammad Adib.

“Apabila mereka berkuasa 33 bulan, kenapa tak ambil tindakan pada siapa yang mengancam. Kalau ancam tu DAP, kenapa tak ambil tindakan pada DAP? Kenapa tak pernah tangkap pun mereka tu semua?

“Kemudian isu Muhammad Adib. Akhirnya mereka cuma tunggang isu. Bila mereka berkuasa tak apa pun berlaku, habis situ sahajalah.

“Jadi mereka ini jelas mempermainkan isu kaum dan agama,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily baru-baru ini.

Sewaktu menjadi pembangkang, Pas bersama beberapa pihak lain menimbulkan ketakutan mendakwa Melayu terancam disebabkan DAP, sehingga PH mendapat tentangan pengundi terutama orang Melayu.

Pas juga meletakkan kesalahan atas kematian Muhammad Adib kepada PH.

Untuk rekod ketika itu Menteri Dalam Negeri disandang oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang merupakan Presiden Bersatu dan kini Pengerusi PN.

Namun menguasai Putrajaya, Pas digambar sebagai mengabaikan isu kematian anggota bomba itu.

Mengulas lanjut Ahmad Awang yang juga bekas  Presiden Persatuan Ulama Malaysia berkata Gerakan yang berada dalam gabungan PN secara praktikal sebenar lebih ‘ekstrem’ satu ketika dahulu berbanding DAP.

Ini kerana katanya, Gerakan pernah membawa kes hudud ke mahkamah bagi mencabar kuasa negeri Kelantan sama ada negeri itu mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan Kanun Jenayah Syariah 11 (Pindaan).

Gerakan juga memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Hudud sebagai tidak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan terutamanya kebebebasan fundamental yang termaktub dalam Fasal 11 Perlembagaan.

“Jadi jelas mereka menggunakan agama dan kaum semata-mata kerana politik. Kerana praktisnya dia boleh bersama dengan parti yang lebih ekstrem dari DAP,” kata Ahmad.

BACA JUGA: ‘Dari mana Pas dapat duit? 40 tahun saya dalam Pas, bertanding pun guna duit sendiri’

                          Pas dan takfiri adalah benar, bukan persepsi