Anwar: Bangkit dengan kekuatan baharu Malaysia Madani, tolak fahaman jumud
Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu generasi muda bangkit dengan kekuatan baharu Malaysia Madani dengan menolak sebarang fahaman jumud dan kolot.
Perdana Menteri berkata kebangkitan tersebut mesti berasaskan kepada kerangka pemikiran dalam mempertahankan akidah, nilai dan akhlak serta mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan.
“Sudah sampai ketika kita bangkit generasi baharu yang menolak fahaman jumud dan kolot serta rugikan bangsa, bangkit sebagai kekuatan semua kaum, kebangkitan yang mempertahankan akidah, nilai dan akhlak, kebenaran dan keadilan.
“Bangkit sebagai kekuatan baharu masyarakat madani Malaysia,” katanya ketika berucap dalam syarahan ulung Kursi Siddiq Fadzil bertajuk Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan di Dewan Canselori Universiti Selangor, Bestari Jaya pada Khamis.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UNISEL Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
Anwar berkata sesuatu dasar termasuk pendidikan memerlukan satu kerangka pemikiran supaya mempunyai identiti yang menjadi pegangan dalam membawa perubahan kepada negara.
“Jika tidak kita hanya meminjam dan menciplak. Mesti ada teras kepada keyakinan sama ada kita guna istilah akidah, ideologi atau doktrin – keyakinan dan akidah mesti diterjemahkan dari sudut dasar pendidikan, ekonomi dan sosial,” katanya.
Beliau berkata, jika berdasarkan kepada pemikiran Almarhum Dr Siddiq Fadzil, kerangka pemikiran itu mesti mempunyai dimensi insan dan berteraskan kepada nilai dan akhlak.
Jelasnya dalam bicara tentang Islam dan benturan idea yang panas dengan pelbagai trend, Siddiq telah menjelaskan perkara itu dalam karyanya yang sangat bernilai.
“Saya dalam Keadilan wajibkan pimpinan baca, harus faham Islam, bukan dari penafsiran pelbagai tapi kita yakini hakiki dan kebenaran, nilai itu mengatasi sentimen kaum dan kelompok,” katanya.
Anwar menegaskan Almarhum Siddiq tidak pernah berganjak daripada pendiriannya tentang keadilan, keamanan dan kemanusiaan sama ada di masjid atau dalam khutbah.
“Kami juga nukil pandangan Syed Naquib Al-Attab..ya kita Melayu kita bangga dengan budaya dan cuba gali khazanah tetapi kita diingatkan, kalau bicara soal Melayu dengan sentimen kaum yang tebal dan tidak didasari nilai akhlak Islam, pasti akan menjuruskan kepada cauvinisme.
“Dalam kerangka pemikiran ini Siddiq mahu pemahaman Islam tidak terpengaruh dengan penafsiran peribadi, kelompok atau parti kerana ia bercanggah dengan kerangka universal, rahmah untuk sekelian alam (rahmatan lil alamin).
Katanya keupayaan mengangkat tamadun sebuah negara madani adalah kerana mesej yang universal dan tertegak dasar keyakinan pada keadilan dan kemanusiaan.
Anwar menekannya perkara itu kerana berdasarkan kepada pengalaman beberapa dekad lalu di Mesir ketika timbul kesedaran Islam tetapi berlaku pertembungan dahsyat antara gerakan Islam dan pemerintah hingga timbul trend ekstrem dan kecenderungan takfiri.
“Maka Siddiq turut merasakan isu itu harus dikupas di sini kerana tempias pengaruh itu siddiq mengupas dalam karya tentang apa yang cuba diolah pemimpin Ikhwan (Muslimin) Hassan Hudaibi iaitu ‘pendakwah bukan penghukum’, kita beri pencerahan… jangan ambil tugas hakim dan hukum, orang tidak sependapat dengan kita
terus dihukum keras,” katanya.
Justeru itu, Anwar yang menjadikan UNISEL sebagai universiti pertama dilawati menyatakan Kursi Siddiq Fadzil membawa mesej islah dalam pendidikan yang sebenarnya merangkul idea besar yang beliau lontarkan.
Katanya tokoh muda seperti Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek iaitu anak perempuan kepada Siddiq boleh membawa aspirasi tersebut.
“Kita mahu kecemerlangan… tetapi mesti berpandu kepada keyakinan dan nilai,” katanya.
BACA: Makna besar Universiti Selangor, Dr Siddiq Fadzil pada Anwar
Â