Selangor yakin Anwar mampu bawa hala tuju lebih jelas, muafakat bina Malaysia

Kerajaan Selangor yakin kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membawa hala tuju yang jelas kepada negara melibatkan pelbagai kaum untuk bermuafakat membina Malaysia yang lebih baik.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pendidikan, pembangunan generasi mujda dan anak bangsa merupakan perkara yang tidak pernah lekang daripada kaca mata fikiran Perdana Menteri sejak dari muda.

“Reformasi pendidikan kita ketengahkan supaya dapat membina generasi masa depan dalam masyarakat pelbagai kaum.

“Perkara ini sangat rapat dengan Dr Siddiq Fadzil yang selalu menekankan untuk memberikan keutamaan kepada keharmonian dan berhati-hati ketika menterjemah dan mengangkat Melayu dan Islam adar keharmonian dapat dipelihara,” katanya dalam ucapan aluan pada program Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya pada Khamis.

Amirudin berkata Almarhum Dr Siddiq merupakan tokoh yang bertanggungjawab memperkenalkan pendekatan manhaj malizi (kaedah Malaysia) supaya dapat mengambil keadaan persekitaran (waqi) dalam menterjemahkan sebarang undang-undang, peraturan, nilai dan pengajaran Islam di Selangor.

‘Wajar kita teliti selain Dr Siddiq, Anwar juga memberikan pandangan perlu gariskan apa hala tuju untuk dilaksanakan sama-sama sebagai warga, rakyat dalam mendepani cabaran masa depan,” katanya.

Jelas beliau perkara itu penting kerana negara ini dalam tempoh 20 tahun lalu mengalami krisis yang tidak berkesudahan hingga gagal merumuskan tentang rupa bentuk negara dan bangsa Malaysia

“Saya percaya pemikiran Siddiq Fadzil yang tercerna termasuk dalam konteks kesatuan dan kepelbagaian, di saat pembinaan bangsa tidak boleh kurangkan identiti tradisi Melayu dan Islam, hilang rasa cinta kepada Islam, beliau ingatkan kembali kepentingan bina Malaysia yang bersatu padu, muafakat dan erat,” katanya.

Di bawah kepimpinan Amirudin, kerajaan Selangor menambah RM4 juta bagi melengkapkan penubuhan Kursi dan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di UNISEL.

Ia merupakan tambahan kepada dana RM1 juta yang diperuntuk dalam Belanjawan 2022 untuk menyempurnakan lagi proses penterjemahan karya cendekiawan itu.

BACA JUGA: Selangor belanja lebih RM12 juta beri biasiswa kakitangan anak syarikat negeri