‘Terima kasih YB! Kita semua rakyat Malaysia’

Umum mengetahui, baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah melakukan lawatan kerja rasmi ke Sabah antaranya bagi meninjau keadaan fasiliti di Negeri Bawah Bayu itu.

Menariknya, dalam lawatan kerjanya itu, terdapat satu detik yang telah membuatkan rakyat Malaysia tersentuh hati apabila melihatkan gambar memaparkan seorang kanak-kanak perempuan memeluk Ahli Parlimen Segambut berkenaan.

Menerusi gambar tersebut, rata-rata warga maya daripada pelbagai latar belakang kaum, memuji Hannah yang sememangnya berkhidmat untuk seluruh rakyat Malaysia.

Seorang pengguna media sosial, AbRahim Abdullah menyifatkan Menteri Belia dan Sukan itu sebagai seorang pemimpin yang mempunyai akhlak yang baik.

”YB, ramai orang sayangkan YB kerana akhlak yang baik!” ucapnya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Sreedharan Velayutham mengucapkan terima kasih kepada beliau atas teladan murni yang ditunjukkan.

”Terima kasih kerana memberi inspirasi bahawa kita semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” pujinya.

Yii Ah Ling pula mengatakan bahawa gambar tersebut sememangnya satu detik yang sangat indah untuk dikenang.

Gambar Hannah dipeluk pemanah cilik itu mendapat lebih 600 tanda suka, iaitu foto yang paling banyak meraih perhatian netizen dalam ruangan tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh yang ditulis di Facebook rasmi Ahli Parlimen Segambut itu:

Adszraa Adhawiyah Binti Mohd Aszrul (yang hanya berusia 8 tahun) adalah seorang wira kecil dalam sukan memanah tradisional yang saya temui semasa ke Sabah baru-baru ini. Apabila guru mereka meminta saya melawat tempat latihan di Darau, 24 jam sebelum ketibaan saya di Sabah, pasukan saya kemudiannya menyusun semula jadual supaya saya dapat hadir ke sini.

Bermula dari saat saya sampai, beliau berdiri dekat dengan saya dan sedaya upaya cuba untuk menerangkan mengenai sukan memanah tradisional. Untuk kanak-kanak yang berusia 8 tahun, beliau begitu beryakinan tinggi.

Ketika saya sudah mula mahu beredar dan mahu mengucapkan selamat tinggal kepadanya, tiba-tiba beliau memeluk saya dengan kuat dan saya beritahu kepadanya yang saya mahu melihat beliau menjadi juara dunia suatu hari nanti. Jujurnya, ketika itu saya berasa terharu semasa saya berjalan ke kereta.

Ini adalah keistimewaan dan tanggungjawab buat mereka yang mempunyai kuasa eksekutif di Putrajaya untuk memperbaiki kehidupan rakyat dalam negara ini

Setiap hari saya di Putrajaya sesekali tidak akan dibazirkan. Walaupun berada dalam portfolio baharu, setiap hari saya rasa bersyukur kepada Tuhan kerana diberi peluang bekerja dengan ❤ saya – anak-anak Malaysia.

BACA JUGA Cukai jalan sudah boleh guna mod paparan digital