KPDN salur RM16,000 laksana peniaga, pengguna tanpa tunai

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM16,000 bagi melaksanakan program insentif baharu kepada peniaga dan pengguna secara tanpa tunai di Kipmall, Tampoi, Johor.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata peruntukan itu adalah sebagai tanda sokongan pelaksanaan Program Inisiatif Pendigital Sektor Peruncitan (ReDI).

”ReDI dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Bank Negara Malaysia (BNM), Majlis Perbandaran Johor Bahru, Majlis Perbandaran Iskandar Puteri dan rakan strategik penyedia e-wallet.

”Sehingga 31 Disember 2022, seramai 8,479 peniaga luar bandar telah beralih ke medium digital. Kini ianya diperluaskan lagi ke Johor dengan menyasarkan keseluruhan 233 peniaga Kipmall dan 120 peniaga di Pasar Awam Perling.

”Pelancaran ReDI ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif pengembangan sektor perniagaan yang menjadi teras utama kementerian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai menyempurnakan majlis pelancaran program itu bertempat di Kipmall, Tampoi, Johor.

Tambah Salahuddin, ReDI telah berjaya dilaksanakan secara rintis di Putrajaya, Hulu Terengganu, Kapit Sarawak, Pulau Pangkor, Labuan, Sandakan, Sabah, Kuala Perlis, Perlis, dan Bera Pahang pada tahun lalu.

”Tahun ini, KPDN merancang untuk melaksanakan lima program ReDI di lokasi tumpuan ramai seperti Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Sabah dan Sarawak,” ujarnya lagi.

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: Jentera parti diperkukuh selaras naratif Kerajaan Perpaduan