Nazri duta ke AS: Lantikan dibuat hampir setahun lalu
Pelantikan bekas ahli palimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) tidak wajar dipersalahkan ke atas Kerajaan Perpaduan kerana proses melantiknya berlaku hampir setahun lalu.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mungkin beliau akan menukar lantikan itu kerana proses untuk AS memberi pengesahan sebagai duta memakan masa 6 bulan.
“Kadang kadang orang ini (pengkritik) dalam teguran dia terburu buru. Umpamanya lantikan itu dibuat hampir setahun lalu. Mengambil masa 6 bulan untuk AS mengesahkan.
“Jadi bila saya datang … melainkan kalau ada hujah yang terlalu keras menantang, maka kerajaan sekarang hanya mengesahkan (lantikan). Kerana membatalkan itu akan menimbulkan banyak masalah,” katanya di hadapan pemberita usai Majlis Pelancaran SKSSR dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi tadi.
Justeru, Ahli parlimen Tambun itu menasihatkan para pengkritiknya agar jangan terlalu cepat menghukum di atas perkara yang tidak mereka ketahui.
“Jadi sepatutnya orang nak tegur boleh. Tetapi serangan dia itu keras, seolah olah kita yang bertanggungjawab (melantik). Itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, selepas mengambilalih kerajaan perkara yang dilakukannya hanya memohon kepada Yang di-Pertuan Agong menangguhkan pengumuman lantikan duta kerana dalam proses untuk membentuk kaninet, bukan terlibat dalam proses lantikan tersebut.
BACA JUGA Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) diperkenalkan semula