Persoalan Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri

Apakah yang ditawarkan oleh blok Barisan Nasional kepada kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan dalam konteks pilihan raya negeri?

Pilihan raya negeri (PRN) tahun ini membabitkan enam buah negeri: – Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Umno dengan 27 kerusi parlimen diikuti dengan rakan BN iaitu MCA dan MIC yang mempunyai masing-masing dua dan satu kerusi parlimen.

Menurut penganalisa politik, Profesor James Chin dari Universiti Tasmania di Australia, Umno menambahkan sokongan undi Melayu di beberapa negeri. Ini tidak termasuk Kelantan dan Terengganu.

“Umno telah menang 30 peratus undi Melayu. Gabungkannya dengan undi Melayu Pakatan Harapan, ia bersamaan 50 peratus undi Melayu dan 80 peratus undi bukan Melayu. Jumlah ini cukup untuk mengekalkan kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” kata beliau kepada Harapan Daily.

“Di Kedah ia berlainan kerana Kedah utara 80 peratus pengundi Melayu manakala Pakatan mempunyai peluang lebih cerah di Kedah selatan kerana adanya pengundi bukan Melayu sehingga 50 peratus.”

Penganalisa politik, Profesor James Chin dari Universiti Tasmania, Australia

Beliau menambah bahawa ramalan ini akan berhasil jika penyokong Pakatan sanggup mengundi calon Umno.

Chin yang merupakan profesor pengajian Asia menambah bahawa MCA dan MIC pula hanya akan dapat bertanding dalam pilihan raya negeri dengan ihsan Umno.

“Umno perlu berikan kerusi mereka kepada MCA dan MIC. Pada masa lalu, lima puluh peratus kerusi MCA ialah kerusi majoriti Melayu.”

Beliau turut menjamin bahawa peluang kedua-dua parti komponen BN ini untuk bertanding tidak akan datang dari DAP dan PKR.

“DAP umpamanya sudahpun memenangi kerusi majoriti Cina. Takkan mereka akan berikannya kepada MCA.”

Chin turut meramalkan bahawa PKR akan mempertandingkan lebih ramai calon India di dalam PRN tahun ini.

“PKR akan memberikan lebih banyak peluang kepada calon dari masyarakat India kerana parti tersebut sudah menerima kritikan yang banyak dari kalangan ahli PKR India.”

Antara kritikan utama ialah ketiadaan menteri dari kalangan ahli parlimen PKR mewakili masyarakat India.

Satu-satunya wakil masyarakat India dari PKR ialah Senator Saraswathy Kandasami yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

BACA JUGA: Umno Selangor bersedia bincang agihan kerusi bersama PH