Bantu B40, tambahbaik pengangkutan awam harapan Belanjawan 2023
Rakyat Malaysia semestinya menaruh harapan tinggi pada pembentangan semula Belanjawan 2023 yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari ini.
Sempena dengan pembentangan Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung meletakkan harapan supaya lebihan bajet dapat dibelanjakan kepada golongan B40 selain menaik taraf pengangkutan awam di negara ini.
“Sempena dengan pembentangan bajet 2023, saya merasakan antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian dan pembelaan oleh Kerajaan Perpaduan iaitu dengan memberikan lebihan bajet kepada keperluan dan kos sara hidup golongan B40 dan juga pengangkutan awam.
“Selain itu, kemudahan-kemudahan awam di negara ini juga perlu diselenggara dengan baik dan bukan lagi membina projek baru,” katanya kepada Harapan Daily ketika diwawancara baru-baru ini.
Tambahnya, sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilakukan secara berkala, segala kemudahan awam yang terdapat di negara ini akan dapat dijaga dengan baik.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar turut mengharapkan lebihan peruntukan dapat diberikan untuk pembangunan di kawasan Seri Setia yang juga terletak di bawah Parlimen Petaling Jaya, di mana terdapat sekolah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang begitu daif.
“Di Seri Setia, ada sekolah saya pergi terlalu daif sehingga ada bumbung yang rosak, makmal rosak, lantai pecah dan bekalan elektrik yang tidak stabil.
“Selain itu, saya berharap agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima peruntukan khas yang boleh membantu untuk memperbaiki keadaan di PPR Lembah Subang 1 terutamanya,” katanya kepada Harapan Daily.
Halimey berkata, isu PPR Lembah Subang 1 turut sering beliau bangkitkan di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor kerana mahu kawasan itu diberi perhatian kerana begitu daif.
“Saya harap dalam bajet ini, PPR Lembah Subang 1 dapat dibantu memandangkan ia merupakan PPR paling daif yang tidak dijaga oleh pihak KPKT.
“Saya turut berharap agar ada perubahan atau perbezaan yang bakal berlaku di bawah Kerajaan Perpaduan sekarang tidak seperti mana kerajaan terdahulu yang membiarkannya sahaja tanpa penyelesaian,” ujarnya.
Pada 8 Februari lepas, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa tetapi boleh memacu pertumbuhan negara, menarik pelaburan ke dalam negara serta memberi rahmah kepada rakyat.
BACA JUGA Mahkamah pilihan raya tolak bantahan Hadi, arah bayar kos RM20,000