Mahkamah pilihan raya tolak bantahan Hadi, arah bayar kos RM20,000

Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu menolak bantahan  yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum untuk Parlimen Marang.

Hakim, Datuk Hassan Abdul Ghani juga mengarahkan Hadi membayar kos RM20,000 ekoran tindakannya itu.

Sehubungan itu, Mahkamah memutuskan untuk mendengar perbicaraan penuh petisyen itu yang akan diadakan 6 hingga 21 Mac depan, lapor The Malaysian Insight.

Umno Terengganu memfailkan petisyen pada 3 Januari bagi membatalkan kemenangan calon Pas di tiga kerusi – Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Mereka mendakwa, Pas melalui agen masing-masing memberikan rasuah kepada pengundi bagi membolehkan mereka mengundi Pas dalam PRU-15 lalu.

Petisyen difailkan oleh calon masing-masing iaitu Jasmira Othman (Marang), Mohd Zubir Embong (Kuala Terengganu) dan Ahmad Said (Kemaman).

Ahmad yang juga pengerusi Umno Terengganu mendakwa ada “bukti jelas” oleh saksi yang mendakwa menerima wang daripada PAS yang memancing undi di tiga kawasan itu.

Keputusan permohonan membatalkan petisyen bagi kerusi Kemaman akan didengar pada petang ini melalui aplikasi zoom.

Keputusan bagi petisyen untuk kerusi Kuala Terengganu akan diketahui pada 17 Februari.

 

BACA JUGA Hadi vs Anwar dalam isu Madani

JUGA Mahkamah tetapkan 12 Februari untuk putuskan dakwaan rasuah PRU Marang