Bekalan air Hulu Selangor, Gombak, Petaling pulih 100 peratus
Sehingga pukul 6 pagi ini, status pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas telah mencapai 89 peratus, kata Air Selangor.
Daripada senarai itu, Hulu Selangor, Gombak dan Petaling telah pulih 100 peratus.
Kuala Selangor pula 99 peratus, Klang dan Shah Alam (83 peratus) manakala Kuala Langat (sifar).
“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” kata Air Selangor dalam kenyataan pagi ini.
Kenyataan itu berkata para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.
“Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.
Sabtu lalu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memaklumkan mengenai pencemaran bau yang telah dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang).
Ekoran itu Air Selangor bertindak menghenti tugas sementara empat loji rawatan air iaitu LRA Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).
Berikutan itu, lapan wilayah Air Selangor iaitu Petaling (370 kawasan), Gombak (279 kawasan), Hulu Selangor (30 kawasan), Klang & Shah Alam (189 kawasan), Kuala Langat (tiga kawasan), Kuala Lumpur (186 kawasan) dan Kuala Selangor (280 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
BACA JUGA: LUAS tangani pencemaran dalam empat jam