Anak Selangor lahir tahun ini nikmati insentif 5 tahun

Semua bayi yang lahir di negeri Selangor mulai tahun ini bakal menerima tabungan RM100 setahun sehingga mereka berusia lima tahun.

Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sumbangan berkenaan akan disalurkan menerusi pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

“Bermula tahun ini, siapa yang melahirkan anak di negeri Selangor, lima tahun pertama akan mendapat sumbangan RM100 daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Kita percaya ibu bapa juga boleh menyimpan atau mencarum kepada anak-anak ini,” katanya menerusi video di Facebook miliknya.

Beliau turut menjelaskan bahawa insentif itu telah dijenamakan semula daripada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) kepada Iltizam Anak Selangor (ANAS).

MB turut memberikan contoh insentif kewangan dalam bentuk tunai oleh Kerajaan Persekutuan menerusi geran sepadan memasuki Institut pengajian Tinggi (IPT) yang bertujuan untuk menarik orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah membuat tabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.

“Pihak Kerajaan Persekutuan juga ada peruntukan. Kalau kita simpan RM1000 untuk anak, kerajaan tambah lagi RM1000, jadi ada RM2000 kepada anak-anak ini menjelang pendidikan mereka pada umur 18 tahun,” ujarnya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM3 juta bagi menjayakan ANAS dengan menyasarkan seramai 30,000 bayi menerima manfaat.

Kerajaan Selangor baru baru ini melancarkan Rancangan Selangor 1 dan pelbagai inisiatif dan insentif telah dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun ke hadapan.

BACA JUGA Restoran India Muslim bantu kerajaan sediakan Menu Rahmah