Biasiswa Khas MB Selangor dibuka hingga 1 Mac, lanjut pelajaran sampai PhD

Anak-anak Selangor yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda sehingga doktor falsafah boleh memohon Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar Selangor dan Pinjaman Boleh Ubah Luar Negara 2023.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) membuka tawaran ini sehingga 1 Mac 2023.

“Moga dapat membantu para mahasiswa mengejar impian masing-masing. Maklumat kriteria dan permohonan boleh didapati di https://danapendidikan.selangor.gov.my/,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Berdasarkan laman web tersebut, Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar Selangor melibatkan pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian di 100 universiti terkemuka mengikut ranking by Subject 2023 QS World University Ranking.

Calon Biasiswa Khas Dato Menteri Besar Selangor Top100 akan disenarai pendek berdasarkan permohonan di bawah Program Pinjaman Boleh Ubah Luar Negara Top100.

Permohonan boleh dibuat di https://edanapendidikan.selangor.gov.my/login

Pemohon mestilah rakyat Selangor dan ibu bapa mereka merupakan warganegara lahir dan menetap di negeri ini atau bermastautin lebih 10 tahun, bujang, berumur tidak melebih 40 tahun dan mengikuti pengajian sepenuh masa.

Pembiayaan bagi biasiswa berbentuk Biasiswa Penuh merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun penginapan dan lain-lain elaun.

BACA JUGA: Selangor belanja lebih RM12 juta beri biasiswa kakitangan anak syarikat negeri