Tiada yang terlepas bayar royalti pasir, pendapatan Negeri Sembilan bertambah
Hasil pendapatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan yang tinggi sepanjang penggal pertama pemerintahan turut disumbang oleh royalti pasir yang dibayar oleh pengusaha.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani berkata, Negeri Sembilan tegas dalam memastikan setiap tan pasir yang dikeluarkan akan dibayar royaltinya kepada kerajaan negeri.
“Tidak ada yang akan terlepas daripada membayar royalti pasir. Dengan kaedah itu, kita berjaya meningkatkan pendapatan hasil royalti pasir ini daripada kira-kira RM17 juta kepada hampir RM30 juta,” katanya.
Menurut Naib Pengerusi AMANAH negeri itu, kerajaan meraih hasil tertinggi dalam sejarah Negeri Sembilan sejak merdeka apabila berjaya mengumpulkan pendapatan mencecah RM556.44 juta.
“Ini satu pencapaian yang sangat baik. Kalau kita lihat pada tahun-tahun sebelum ini, sebagai contoh pada tahun 2016, kita hanya mencatatkan RM380.55 juta.
“Pada tahun 2017, kita mencatat RM413.46 juta, dan pada tahun 2018, kerajaan negeri mendapat RM421.24 juta.
“Kalau kita bandingkan dengan 2019, peningkatan hampir RM140 juta. Ini merupakan pencapaian yang baik,” ujarnya ketika ditemuramah Harapan Daily di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paroi.
Dalam masa sama, beliau menghargai komitmen yang baik daripada penjawat awam di daerah-daerah seluruh Negeri Sembilan.
“Ada pejabat daerah yang melebihi 100 peratus hasil kutipan cukai tanah dan sebagainya. Ini sesuatu yang membanggakan kita,” tambah Taufek lagi.
BACA JUGA ‘Tidak pulang dengan tangan kosong, orang kuat Umno pun suka YB PH’