‘Harap Parlimen-15 tidak ulangi berantakan Parlimen-14’

Ahli Parlimen Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor – PH) berharap kerajaan yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini tidak akan membiarkan kekacauan berlaku lagi seperti mana yang terjadi dalam tempoh lima tahun lalu.

Menurutnya semua pihak perlu bersama memastikan tadbir urus negara dipandu berlandaskan kedaulatan undang-undang agar tidak terjebak dengan mana-mana salah laku.

Katanya, Kerajaan Perpaduan ini juga perlu menjarakkan diri dari amalan ahli politik tertentu yang selama ini ‘curang dan culas’ ketika menjalankan tugas mereka kepada rakyat.

“Saya harap Parlimen-15 tidak mengulangi keberantakan Parlimen-14. Mudah mudahan dalam Parlimen kali ini, hanya satu Perdana Menteri sahaja yang dihadapi (dilantik).

“Apa yang penting adalah bagaimana negara ini ditadbir urus dengan mengangkat kedaulatan undang-undang.

“Tinggalkan amalan kelompok politikus yang sangat curang dan culas terhadap rakyat yang telah mengangkat kita,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat sesi petang.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata bagi memastikan kerajaan kekal memerintah selama lima tahun tanpa diganggu gugat, beliau mencadangkan ditubuhkan satu ketetapan mengenai ‘Penggal Parlimen Ditetapkan’ atau fix term parliament.

Dengan ini katanya, sesebuah kerajaan itu akan mendapat mandat sepenuhnya untuk mentadbir selama lima tahun tanpa perlu khuatir dengan ancaman dan ganggu gugat pihak luar yang ingin menggulingkan kerajaan.

“Kita tetapkan agar selama 5 tahun, kerajaan yang diangkat dapat laksanakan janji dan tawaran manifesto mereka tanpa ada ganggu gugat. Sekadar disemak imbang oleh pembangkang,” katanya lagi.

BACA JUGA Pelbagai pendekatan untuk atasi kesesakan di jabatan kecemasan