Lawatan Anwar ke Turkiye hulur bantuan dari Malaysia

Lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye bersama rombongan petang tadi menemui Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan.

Dalam pertemuan itu Anwar menyatakan rasa simpati rakyat Malaysia terhadap mangsa gempa bumi Turkiye yang masih menderita dan mengharapkan bantuan antarabangsa.

“Saya menzahirkan solidariti Malaysia sebagai negara sahabat ketika saat getir dan sukar, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terutamanya dalam membantu warga Turkiye yang terkesan dari malapetaka gempa.

“Saya turut menyampaikan ucapan takziah dari rakyat Malaysia serta memaklumkan mengenai bentuk bantuan yang telah diusahakan oleh pihak Kerajaan Malaysia,” katanya.

Presiden Turkiye, Erdogan menerangkan kepada Anwar keadaan semasa di negaranya

Turut serta dalam rombongan ke Turkiye adalahMenteri Luar Negeri Dato’ Sri Utama Zambry Abd Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali, Duta Malaysia Ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Dato’ Sri Amran Mohamed Zin.

Sebelum itu, Anwar mengunjungi kawasan gempa dan bertemu pasukan pencari dan penyelamat (SAR) dari Malaysia.

“Dalam pertemuan saya dengan pasukan pencari dan penyelamat (SAR) kita di Nurdagi, Gaziantep hari ini, saya melihat sendiri kesungguhan, kecekapan dan tahap profesionalisme yang tinggi sewaktu pengoperasiaan carilamat mangsa gempa bumi di kawasan tersebut.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim tiba di Gaziantep melihat kawasan bencana yang terjejas serta berjumpa pasukan SMART yang terlibat bagi operasi carilamat mangsa gempa bumi di Turki

“Saya dimaklumkan bahawa anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia telah menzahirkan pengorbanan dan keupayaan yang ternyata luar biasa,” katanya.

Anwar turut menekuni mendengar pengalaman ahli pasukan penyelamat Malaysia sewaktu operasi mereka.

Beliau sempat menitipkan pesanan kepada pasukan itu agar terus komited mencurahkan bakti serta menjaga keselamatan sewaktu penugasan dan pengoperasian.

BACA JUGA Anwar berlepas ke Turkiye, beri sokongan moral mangsa gempa bumi