Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong, ADN ‘menghilang’ 6 bulan

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali hari ini diisytiharkan kosong akibat kegagalan wakil rakyat hadir ke sidang Dewan Negeri Selangor dalam tempoh 6 bulan.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata keputusan tersebut berkuatkuasa pada 28 Januari lalu.

Beliau juga memberitahu tarikh akhir kehadiran Ahli Dewan Negeri (ADN) terbabit ke persidangan adalah pada 27 Julai 2022, berdasarkan rekod penyata rasmi dan buku kehadiran.

“Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari 28 Julai tahun lalu, maka mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran beliau melebihi enam bulan.

“Maka dengan kuasa saya sebagai Speaker, saya mengisytiharkan kerusi Harumaini kosong berkuat kuasa 28 Januari lalu. Ini bermakna kelayakannya sebagai ADN juga terlucut,” katanya dipetik.

Menurut Suee Lim, perlucutan kerusi itu adalah kekal dan keputusan tersebut tidak boleh dirayu

“Jadi beliau akan mengetahui (pelucutan) menerusi sidang media ini. Sebarang rayuan tidak akan diterima dan beliau juga tidak boleh hadir pada sidang DNS pada 13 Mac depan,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Annex di Shah Alam pagi tadi.

Sehubungan itu, Speaker akan memaklumkan perkembangan terbabit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya sama ada mahu mengadakan pilihan raya kecil di DUN Batang kali atau pun tidak.

Harumaini menang di Batang kali pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu mengetepikan dua calon lain termasuk penyandang kerusi Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan calon PAS, Mohd Hasnizan Harun.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,315. Dia memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 yang dipungut Mat Nadzari.

Apabila Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan pada Feb 2020, Harumaini tidak ikut serta dan beliau menyertai Pejuang.

BACA JUGA Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 atasi pencemaran sumber air