Kecaman MP Kapar terhadap Menu Rahmah menghasilkan ‘Menu Halimah’
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali dikecam habis-habisan oleh netizen apabila beliau melahirkan kebimbangan Menu Rahmah boleh membawa kepada pelbagai jenis penyakit.
Dengan menggunakan bidang pendidikan beliau sebagai doktor perubatan, Halimah mendakwa Menu Rahmah boleh menghasilkan penyakit akibat makanan berkualiti rendah.
Hasilnya netizen, termasuk yang belajar perubatan sebagaimana Halimah mengecam beliau dan ada menghasilkan Menu Halimah yang berharga mahal dan bermutu tinggi.
Dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin, Halimah berkata, sebagai doktor perubatan, dia berasa bimbang dengan isu keterjaminan makanan yang terdesak sekarang dan didakwanya membingungkan kerajaan.
“Kita tak mahu shortcut (jalan pintas), kita tak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality.
“Saya tidak ada masalah dengan istilah rahmah atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya,” kata bekas exco Selangor itu kelmarin.
Rakan-rakan Kartunis Zunar antara yang mencipta menu khas yang dinamakan Menu Halimah itu.
Ia berupa ikan kelah merah yang dibakar dan harganya adalah RM355 satu hidangan berbanding RM4.90 Menu Rahmah.
Ikan kelah merah dipilih dipercayai menyindir Ketua Dewan Ulama, Nik Zawawi dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menayangkan ikan kelah yang mereka tangkap.
Melalui satu klip video, Nik Zawawi berkata, ikan kelah ini bernilai tinggi bukannya ikan kembong yang yang sesuai untuk makanan golongan bawahan sahaja.
“Menu orang have-have by Gandum,” tulis salah seorang rakan Kartunis Zunar dalam page Facebook “Zunar Cartoonist Fan Club”.
Selain para netizen, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) turut mengecam kenyataan Halimah di samping pemilik Pasaraya Maidin yang memperkenalkan Menu Rahmah bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Sebenarnya adalah sangat salah apabila dia beranggapan orang (penjual) akan memberikan makanan yang tidak berkualiti kerana kami menjual pada harga yang lebih murah.
“Sejak awal, terutamanya di Mydin, dan persatuan nasi kandar, kami telah menyatakan bahawa kualiti makanan tidak akan terjejas.
“Dia juga harus ingat bahawa kami berniaga dan kami berada di sini untuk perniagaan jangka panjang. Jika kami mula memberi makanan berkualiti rendah bukan sahaja reputasi Menu Rahmah akan terjejas, tetapi reputasi perniagaan kami sendiri, sama ada Mydin atau apa sahaja,” kata boss besar Mydin, Ameer Ali Mydin.
Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tuduhan Halimah itu amat mendukacitakan kerana seseorang Ahli Parlimen perlu mengemukakan penyelesaian yang boleh menambah baik kehidupan rakyat.
“Beliau tidak seharusnya memperlekeh sebarang inisiatif baik yang mendapat perhatian rakyat seperti Menu Rahmah dengan sentimen untuk mendapatkan populariti politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan semalam.
BACA JUGA Bos besar Mydin sangkal Halimah, harga murah tak bermakna penjual turunkan kualiti makanan