Bos besar Mydin sangkal Halimah, harga murah tak bermakna penjual turunkan kualiti makanan

Pemilik pasar raya besar Mydin, Ameer Ali Mydin menegaskan bahawa harga murah yang ditawarkan di bawah inisiatif Menu Rahmah tidak bermakna penjual menyajikan makanan yang berkualiti rendah kepada pengguna.

Katanya, adalah salah jika ada pihak membuat andaian bahawa penjual akan memberikan makanan yang tidak berkualiti hanya kerana mereka menjualnya pada harga yang lebih murah.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai menegur Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali yang cuba mengaitkan Menu Rahmah dengan kebimbangan mengenai “makanan berkualiti rendah” boleh mendedahkan orang ramai kepada risiko penyakit, termasuk kanser dan autisme.

“Sejak awal, terutamanya di Mydin, dan persatuan nasi kandar, kami telah menyatakan bahawa kualiti makanan tidak akan terjejas.

“Dia juga harus ingat bahawa kami berniaga dan kami berada di sini untuk perniagaan jangka panjang. Jika kami mula memberi makanan berkualiti rendah bukan sahaja reputasi Menu Rahmah akan terjejas, tetapi reputasi perniagaan kami sendiri, sama ada Mydin atau apa sahaja,” katanya memetik Malaysiakini.

Mydin

Kata Ameer lagi, reputasi merupakan sesuatu yang sangat penting bagi pengendali perniagaan dan berkompromi terhadap kualiti akan memberi kesan jangka panjang ke atas perniagaan mereka

Lapor portal itu lagi, ahli perniagaan berpengalaman itu juga menafikan tanggapan bahawa peniaga akan rugi kerana menjual Menu Rahmah.

Menurutnya, had RM5 setiap hidangan boleh menampung kos makanan dan penjual masih mampu membuat keuntungan antara RM1 dan RM1.50 daripada setiap satu.

“Makanannya sama, tidak ada kompromi (mengenai kualiti), satu-satunya perkara ialah apabila anda menjual pada margin yang rendah, ia tidak akan menampung keseluruhan kos overhed kedai, atau kedai mamak atau apa sahaja perniagaan.

“Tetapi anda harus ingat, bukan semua orang datang untuk membeli Menu Rahmah, kita lihat hanya 15 peratus pelanggan yang membeli Menu Rahmah, jadi kita masih ada 85 peratus pelanggan membeli hidangan lain,” katanya.

Baca juga: Buktikan dakwaan Menu Rahmah menyebabkan kanser, Dr Halimah