PRN Kedah: Mahfuz nafi mahu pertemukan Mukhriz, Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar menafikan dakwaan menjadi perantara untuk mempertemukan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Mukhriz Mahathir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan laporan sebuah portal bahawa Mukhriz kemungkinan akan mendekati gabungan PH Kedah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sumber dalaman Pejuang mendakwa Mahfuz akan bertindak sebagai utusan untuk mengatur pertemuan antara Mukhriz dan Anwar Ibrahim yang juga adalah pengerusi Pakatan Harapan.

Bagaimanapun kata Mahfuz, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan perjanjian mempertemukan dua ahli politik itu tidak pernah berlaku.

“Sebenarnya saya pun tak tahu apa-apa kenyataan yang dia buat mengaitkan saya yang akan membawa dia berjumpa dengan Anwar Ibrahim

“Saya tak pernah berjanji apa-apa dan tidak ada satu keputusan yang mengatakan bahawa saya akan bawa dia pergi jumpa Anwar. Tak ada,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Semalam, Malay Mail melaporkan keputusan Pejuang keluar dari Gabungan Tanah Air (GTA) adalah langkah untuk memastikan hayat politik Mukhriz, kerana bekas Ahli Parlimen Jerlun itu menaruh harapan untuk kembali sebagai menteri besar Kedah.

Mukhriz dikatakan menyimpan hasrat untuk bertanding dalam PRN Kedah dan untuk merealisasikan langkah itu, beliau didakwa akan mendekati PH.

“Bukan satu rahsia lagi bahawa Mukhriz menaruh harapan untuk kembali sebagai menteri besar Kedah kerana ini adalah satu-satunya cara untuk beliau kekal relevan dari segi politik,” lapor Malay Mail memetik sumber yang baru-baru ini meninggalkan Pejuang.

 

Sekiranya Pejuang menyertai PH,  bagaimana pula kerjasama PH-BN?

Hasrat bergabung perlu disampaikan pada Majlis Presiden

Mengulas lanjut berkenaan kemungkinan Pejuang bekerjasama dengan PH Kedah, Mahfuz menyatakan keterbukaannya namun memberitahu bahawa ia perlu disampaikan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, beliau maklum tentang hasrat Mukhriz kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-15 kira-kira dua bulan lalu, Mukhriz pernah menyatakan mahu melakukan satu hubungan kerjasama dengan PH Kedah.

Namun kata Mahfuz, PH negeri tidak boleh melakukan apa-apa melainkan ianya perlu dirujuk kepada PH pusat.

“Dua bulan yang lalu, di Kuala Lumpur dia (Mukhriz) minta nak buat hubungan kerjasama, persefahaman dengan PH Kedah. Saya jawab pada dia terus terang, saya kata mana boleh. Dia kena melalui PH di peringkat nasional.

“Kami di peringkat negeri ini hanya melaksanakan apa yang diputuskan oleh pusat. Jadi sama ada Pejuang nak bekerjasama dengan PH, dia mesti melalui pusat,” katanya lagi.

Pada masa sama, Mahfuz turut menawarkan agar Mukhriz keluar meninggalkan Pejuang dan menyertai AMANAH di peringkat DUN bagi membolehkannya bertanding.

“Saya tawarkan pada dia untuk menyertai AMANAH. Tidak ada masalah kalau dia nak menyertai AMANAH. Dia boleh buat perjanjian, lepas bubar DUN dia boleh. Tidak ada masalah.

“Terpulanglah pada dia. kalau dia nak bekerjasama dengan PH negeri dia kena bertemu dengan PH pusatlah dulu,” ujarnya.

BACA JUGA: Pakatan Harapan boleh tawan Kedah kembali

Kerjasama PH-BN di enam negeri hampir pasti