Kerjasama PH-BN di enam negeri ‘hampir pasti’

EKSKLUSIF Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) di enam buah negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai ‘hampir pasti akan berlaku’.

Beliau memberi keyakinan itu kerana menurutnya bergerak secara solo dan menentang satu sama lain pada PRN akan datang hanya akan memberikan mesej yang buruk kepada Kerajaan Perpaduan diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PH dan BN bergabung di peringkat Persekutuan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan selepas tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong menyarankan agar BN bekerjasama dengan PH untuk mengetuai kerajaan selepas PN enggan melakukan sedemikian.

“Saya melihat ia (kerjasama) hampir pasti akan berlaku. Keadaan seperti itu tidak boleh jika tidak berlaku.

“Jika ia tidak berlaku, bermakna kita memberikan satu mesej salah terhadap Kerajaan Perpaduan yang ada di peringkat Persekutuan ini di mana berlaku gandingan PH-BN dan parti-parti lain.

“Jadi, hampir pasti PRN enam negeri akan berlangsung dengan gandingan PH, BN bagi menghadapi Perikatan Nasional,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Harapan Daily di Hotel Sunway Putra pada hujung minggu lalu.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memberitahu bahawa PH di peringkat nasional telah pun memberi lampu hijau kepada semua pemimpin untuk mengadakan perbincangan awal bersama BN bagi menghadapi PRN.

Di peringkat Kedah, kata Mahfuz, beliau sendiri bersama dua lagi pemimpin AMANAH telah bertemu dengan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi membincangkan kerjasama tersebut.

Beliau melihat ia sebagai pendekatan positif yang akan mendorong kepada persefahaman yang lebih baik.

“Saya telah dimaklumkan bahawa di enam negeri khususnya telah diberikan green light untuk memulakan perbincangan awal antara PH dan BN.

“Saya sendiri bersama lagi dua orang pimpinan AMANAH telah bertemu dengan Jamil Khir selaku Pengerusi BN Kedah bersama Setiausaha BN Kedah dan beberapa orang lagi di pejabat Umno untuk membincangkan soal Kedah, khususnya nak menghadapi PRN,” ujarnya.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr Taufiq Johari, iaitu anak kepada mantan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul,  merupakan satu-satunya wakil rakyat PH yang menang di Kedah apabila berjaya mengekalkan kerusi Parlimen itu yang disandang bapanya sebelum ini selama tiga penggal berturut-turut.

Dalam keputusan PRU pada November tahun lalu itu, Taufiq menang dengan majoriti 1,115 dalam saingan lima penjuru.

PN pula berjaya menguasai 13 daripada 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 manakala BN gagal untuk memenangi sebarang kerusi Parlimen termasuklah yang disifatkan sebagai kerusi selamat gabungan seperti Padang Terap.

Baca juga: Politik Kedah menjelang PRN 2023