Tuduhan Halimah biadap, Razeef perjelas Menu Rahmah dari sudut peniaga

Timbalan ketua penerangan PKR, Razeef Rakimin mengkritik Dr Halimah Ali (Kapar-PN) sebagai biadap berikutan ucapan Halimah yang menimbulkan tanda tanya terhadap usaha kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah.

“Ini merupakan satu kenyataan yang sangat biadap oleh seorang wakil rakyat seolah peniaga yang menyambut baik inisiatif Menu Rahmah akan menghidangkan makanan yang tidak berkualiti dan boleh menyebabkan penyakit.

“Sebagai salah seorang pengusaha gerai makanan, saya amat terkilan dengan kenyataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan bahawa ahli parlimen Perikatan Nasional seperti Halimah hanya mahu mempertikaikan usaha kerajaan “dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas tanpa mempedulikan perasaan pengusaha perniagaan makanan”.

Dalam ucapan menjunjung titah Agong, Halimah menyoal kualiti makanan yang termasuk dalam Menu Rahmah. Beliau turut mendakwa bahawa kualiti makanan yang rendah boleh menyebabkan kanser, autisme dan penyakin auto imun.

Razeef turut menjelaskan bahawa sebagai peniaga makanan, bahan dan cara masakan dikekalkan. Hanya kuantiti makanan dikurangkan sedikit untuk menyesuaikan hidangan dengan harga.

“Dengan memperkenalkan Menu Rahmah dengan harga Lima Ringgit kebawah, tidak bermakna peniaga akan menukar bahan masakan dengan bahan yang membahayakan kesihatan.

“Sebagai peniaga kita tahu menjaga kebersihan dan kualiti makanan yang dihidangkan. Sudah tentu kita tidak ingin pelanggan kita mendapat penyakit dari makanan yang dihidangkan kerana ia akan merisikokan perniagaan.

Semalam Lee Chean Chung (PetalingJaya -PH) turut mencabar Halimah untuk membuktikan tohmahan bahawa Menu Rahmah boleh menyebabkan kanser.

BACA JUGA: Buktikan dakwaan Menu Rahmah menyebabkan kanser, Dr Halimah