AEON Big tawar 100 produk harga lebih rendah, bantu ringan beban rakyat
Rangkaian pasar raya AEON Big menawarkan 100 produk terpilih pada kadar harga lebih rendah di bawah inisiatif Jualan Rahmah bagi meringankan beban pelanggan.
Antara barangan itu termasuk beras, minyak masak, makanan proses, peralatan mandian dan pelbagai keperluan asas lain.
Pengarah Urusan AEON BiG Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata pasar raya itu juga memperkenalkan pelbagai set Menu Rahmah berserta air mineral pada harga RM4.95 sahaja.
“Menu ini terdiri daripada Menu Rahmah Ayam, Menu Rahmah Sotong, Menu Rahmah Ayam Hitam, Menu Rahmah Ayam Lemak, Menu Rahmah Ayam Merah, Menu Rahmah Ikan dan Menu Rahmah Ikan Lemak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu AEON BiG melancarkan Program Rahmah yang merangkumi Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah untuk membantu masyarakat mengharungi kos sara hidup yang tinggi seiring merancakkan sektor ekonomi negara.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub di AEON BiG Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Sheikh Farouk berkata bagi Pakej Rahmah, AEON BiG menyediakan pakej barangan keperluan harian bernilai RM50 yang akan dijual di seluruh cawangan AEON BiG.
“Inisiatif ini merupakan salah satu misi utama AEON BiG bagi menawarkan pilihan barangan yang bermutu dan bernilai kepada pelanggannya, di samping bersama menyahut seruan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup,” ujarnya.
Tambah beliau AEON BiG juga menyumbang Bakul Rahmah kepada 180 keluarga daripada kumpulan B40 dan miskin tegar di enam negeri terpilih iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Penang, Perak dan Pahang sempena pelancaran itu.
“Kami sentiasa menyokong hasrat kerajaan di dalam misi membantu golongan memerlukan dan menyambut baik insiatif Payung Rahmah. Kami bersyukur kerana melalui program ini, AEON BiG dapat melaksanakan hasrat kerajaan sekali gus membantu golongan B40 dan miskin tegar dalam meneruskan kehidupan harian,” katanya.
“Walau dalam apa juapun situasi, kami sentiasa bersedia untuk bergerak bersama bagi memastikan kelangsungan hidup dan keadaan ekonomi dan sosial sentiasa seimbang.
“Golongan B40 dan miskin tegar ini juga merupakan sebahagian dari ekosistem kami dan menjadi tanggungjawab AEON BiG untuk sentiasa berada dekat di hati mereka.”
BACA JUGA: Jualan Rahmah: Potongan harga hingga 30 peratus diperluas ke 222 Parlimen