Jualan Rahmah: Potongan harga hingga 30 peratus diperluas ke 222 Parlimen

Jualan Rahmah yang menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus akan dikembangkan ke 222 kawasan Parlimen terutamanya melibatkan lokasi rakyat berpendapatan rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata kini program Jualan Rahmah diperluaskan menerusi penyertaan AEON BIG Sdn. Bhd. melibatkan cawangannya di seluruh negara.

“Kerjasama ini dapat memastikan capaian program Jualan Rahmah ini adalah meluas dan dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan rakyat Malaysia terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Program Inisiatif Payung Rahmah bersama AEON BIG (Malaysia) Sdn. Bhd. di AEON BIG Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Urusan AEON Big (Malaysia), Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

Jualan Rahmah yang melibatkan jualan murah sepanjang tahun ini di pasar raya telah dilancarkan pada 11 Januari lalu.

Ia merupakan sebahagian daripada lima inisiatif Program Payung Rahmah yang meliputi Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah dan Kafe Rahmah dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Salahuddin melawat Kedai Buku SARJANA yang menawarkan jualan Buku Rahmah pada harga RM5 senaskhah di AEON BiG Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Februari 2023. Foto FB Salahuddin Ayub

Salahuddin berkata inisiatif Bakul Rahmah pula bakal memanfaatkan seramai 40,000 Ketua Isi Rumah (KIR) kategori miskin tegar yang direkodkan di seluruh negara.

“Ia dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Majlis Agama Islam Negeri dan rakan strategik industri peruncitan seluruh negara dengan menyasarkan sumbangan berbentuk bakul makanan (keperluan harian) bernilai RM100.

“Barangan keperluan yang dikenal pasti adalah beras, gula, minyak masak, tepung, susu pekat, mihun dan telur ayam yang akan diagihkan kepada kumpulan sasar pada setiap bulan,” ujarnya.

Katanya inisiatif Pakej Rahmah pula menawarkan pilihan barang dan perkhidmatan dengan tawaran harga yang lebih murah daripada harga pasaran yang dilaksanakan secara sukarela oleh pemain-pemain industri dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan.

“Keempat-empat inisiatif tersebut akan dilaksanakan oleh pihak AEON BIG. Syabas dan tahniah saya ucapkan atas kerjasama yang diberikan ini.

“Sokongan seperti ini daripada pihak pemain industri peruncitan amatlah dihargai dan diharapkan aspirasi dan matlamat kementerian dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat akan tercapai.

“AEON BIG sentiasa proaktif dalam merancang serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong pelan Kerajaan dalam membantu rakyat dan secara langsung dapat meningkatkan jualan sektor peruncitan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin mengingatkan, sebagai pengguna, mereka perlu pastikan bahawa setiap perbelanjaan mampu memberi lebih nilai untuk wang (value for money), berpatutan dan berkualiti.

“Saya menyeru kepada semua pihak agar sama-sama menyokong usaha kerajaan ini dengan menyertai dan menjalin kerjasama dengan KPDN untuk memperluaskan semua inisiatif-inisiatif di bawah Program Payung Rahmah ini agar ia dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Pada masa yang sama dapat membantu meringankan beban kos sara hidup serta merancakkan ekonomi negara dengan menggalakkan rakyat berbelanja,” katanya.

BACA LAGI: “Menu Rahmah untuk semua rakyat, menu kasih sayang” – Salahuddin