‘Bergerak dalam sebuah pasukan yang efektif demi rakyat’

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun optimis mampu melakukan yang terbaik untuk rakyat, jika jalinan perpaduan ketika ini, terus diperkukuh.

Beliau menyifatkan, semua parti di bawah payung Pakatan Harapan (PH) merupakan satu keluarga yang besar.

”Keluarga ini bertambah besar apabila Kerajaan Perpaduan ditubuhkan. Justeru, kita semua seharusnya bersungguh-sungguh dalam merealisasikan kerjasama ini dan bergerak dalam sebuah pasukan yang efektif demi rakyat.

”Saya yakin, kita mampu melakukan yang terbaik buat rakyat Negeri Sembilan khususnya, dan Malaysia amnya sekiranya perpaduan ini terus diperkukuhkan,” tulis beliau pada satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Dalam hantaran sama, beliau turut memaklumkan dirinya berpeluang menghadiri Konvensyen Tahunan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diadakan di Klana Resort, Seremban.

Terdahulu, DAP Negeri Sembilan menerusi Pengerusinya Anthony Loke Siew Fook, dilapor berhasrat mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata cadangan tersebut sebagai prinsip bagi memulakan rundingan antara PH negeri bersama Barisan Nasional (BN) berkaitan pembahagian 36 kerusi DUN untuk ditandingi pada PRN nanti.

BACA JUGA AMANAH Negeri Sembilan terbuka terima agihan kerusi PRN