Fitnah 800,000 penjawat bakal dibuang: Fahmi dedah Awesome TV rekod 6 pelanggaran

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa saluran televisyen tempatan, Awesome TV telah melakukan pelanggaran undang-undang sebanyak enam kali berkait dengan isu salah lapor.

Paling terbaharu adalah laporan diterbitkan berita 757 di bawah kelolaan syarikat itu yang mendakwa kerajaan akan mengurangkan sehingga 800,000 kakitangan kerajaan berikutan kos yang terlalu tinggi dan membebankan.

Menurut Fahmi, lima pelanggaran lain yang dilakukan syarikat itu pula ketika pentadbiran terdahulu.

“Baru-baru ini, Awesome TV menerbitkan satu laporan fitnah yang mengatakan berdasarkan sumber (pemerhati), kerajaan berhasrat membuang lebih 800,000 penjawat awam.

“Ini adalah fitnah yang sangat jelas tidak perlu disebut. Syarikat Awesome TV ini telah enam kali lakukan pelanggaran.

“Lima kali sebelum ini ketika pentadbiran yang lalu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Atas sebab itu kata Fahmi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan bertemu dengan pihak syarikat televisyen tersebut bagi membolehkan kerajaan dan pihak terbabit mencapai titik temu berhubung pelanggaran berulang kali yang dilakukan.

“Jadi, jam 12.30 tengahari hari ini pihak SKMM akan bertemu dengan pihak Awesome TV untuk membincangkan kerana pelanggaran ini berlaku sejak pentadbiran sebelum ini

“Kita perlu ada keseimbangan. Ini mungkin bersifat perbincangan antara pengamal media dan pihak berkuasa untuk mencari titik temu bagi isu tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau bangkit menjawab persoalan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-PN) yang bertanya berkenaan ‘sumber’ para media yang sentiasa dirahsiakan.

Menurut Shahidan, jika sumber yang digunakan adalah benar, sepatutnya media mendedahkan nama-nama sumber mereka dan tidak lagi merahsiakan mereka.

Menjawab persoalan itu, Fahmi kata pihaknya mengambil maklum dengan prinsip dan hak kewartawanan di mana media mempunyai hak memastikan keselamatan identiti sumber mereka tetapi ia perlu diseimbangkan supaya tidak menjurus kepada fitnah seperti yang dilaporkan Awesome TV baru-baru ini.

BACA JUGA Tradisi waktu pertanyaan perdana menteri