Menuju PRN Negeri Sembilan: Perhalusi bakal calon kekalkan kemenangan

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan perlu memperhalusi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mengekalkan kemenangan di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai sejak 2018.

Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, pemilihan calon bertanding bagi mengisi kesemua 36 kerusi DUN perlu mengambil kira pelbagai segi termasuk perkembangan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Secara asasnya yang incumbent (penyandang jawatan) kena kekal, tetapi ada juga incumbent yang bermasalah mungkin itu kena dibincangkan semula,” katanya ketika ditemuramah Harapan Daily di Wisma Negeri, Seremban baru-baru ini.

Zulkefly Mohamad Omar Foto Wan Zahari Wan Salleh

Beliau yang juga bekas calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jelebu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu berkata demikian apabila ditanya mengenai PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Zulkefly memberi bayangan untuk tidak mengadakan sidang DUN memandangkan pembentangan Belanjawan Negeri 2023 pada November lalu.

“Setakat ini belum ada keperluan untuk kita mengadakan sidang DUN. Pembentangan belanjawan pun kedua-dua belah pihak bersetuju dengan belanjawan tersebut.

“Memandangkan kita tiada keperluan, besar kemungkinan kita akan bubar tanpa sidang DUN,” katanya lagi.

Susulan itu, beliau yang juga Naib Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan memberi isyarat mengenai pembubaran DUN melibatkan enam negeri yang akan diputuskan kelak.

“Setakat ini, kita telah melakukan perbincangan (tarikh pembubaran) tidak rasmi antara Selangor dan Pulau Pinang.

“Perbincangan dengan Terengganu, Kelantan dan Kedah juga perlu dibuat supaya PRN dapat diadakan serentak.

“Apapun, terpulang pada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk menentukan (tarikh PRN),” ujarnya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa perbincangan melibatkan enam menteri besar bagi negeri yang belum membubarkan DUN akan diadakan pada minggu hadapan.

Pertemuan itu dibuat bagi mencapai kesepakatan tarikh pembubaran PRN agar dapat dijalankan secara serentak.

BACA JUGA PH Negeri Sembilan harap rundingan agihan kerusi secara ‘perpaduan’