‘Atas kejahilan mereka memfatwa’ – Penceramah ‘sekolahkan’ pemimpin Pas
Penceramah, Wan Ji Wan Hussin menyifatkan pihak yang jahil dan tidak mahu menuntut ilmu dilihat mengeluarkan fatwa susulan perarakan membawa ‘senjata’ di Setiu, Terengganu pada 17 Februari lalu.
Menurutnya, sudah mula pihak tertentu membawa naratif bahawa yang menolak tindakan dalam program yang membawa imej ekstrem itu sebagai munafik.
“Kalangan ini tidak belajar ilmu fiqh dan usul, jauh sekali berusaha nak faham al-Quran dengan ilmu usul tafsir dan hadis dengan ilmu usul hadis.
“Dalam al-Quran ada menyebut hukum perhambaan. Di zaman sekarang, perhambaan sudah tidak ada lagi.
“Lalu, ISIS laksanakan balik sistem perhambaan, apakah menolak pendekatan ISIS itu adalah bermaksud menolak Islam – menolak Quran?” bidasnya menerusi akaun profil Herjunot Ali.
Beliau turut berkongsikan tangkap layar hantaran Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor di Facebook.
Pemimpin Pas yang juga bekas calon bagi Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu menganggap pihak yang mengkritik tindakan penganjur program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 itu sebagai tidak mengenali replika pedang Rasulullah SAW.
“Sebab itu, surah al-Munafikun lebih panjang daripada surah al-Kafirun. Kena banyak mengkaji dan muhasabah diri,” tulis Riduan yang memakai gelaran ‘Ustaz’ di Facebook.
Mengulas lanjut, Wan Ji menegaskan bahawa seorang pembunuh yang memegang pisau tidak sama dengan seorang wanita dewasa memotong sayur di dapur.
“Imej angkat senjata di negara berperang tidak sama dengan imej angkat senjata di negara demokrasi dan aman,” ujarnya.
Dalam masa sama, Wan Ji turut menyebut mengenai larangan Rasulullah berkenaan menghulurkan senjata atau bergurau menggunakan alat yang tajam.
“Ketika dalam al-Quran ada menyebut hukum perang, mereka tidak mahu membaca hadis bahawa Nabi halang memberi senjata tajam kepada saudaranya secara menghunus,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar Riduan pergi belajar bagi mengelak tersasar dari pemahaman yang betul mengenai agama.
“Kekal dengan jahil dan tidak mahu mengaji. Atas kejahilan itu mereka memfatwa.
“Pesanan kepada Ustaz Riduan Mohd Nor, pergi belajar ilmu usul fiqh dan usul tafsir, agar faham agama itu dengan betul.
“Tak malu pula tu guna gelaran ustaz ketika memfatwa atas kejahilan,” tempelak Wan Ji lagi.
BACA JUGA Perarakan bawa replika pedang, tombak tindakan provokasi – PKR Terengganu