PN tidak mampu tembusi keutuhan kerajaan PH Negeri Sembilan

AMANAH Negeri Sembilan yakin kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerajaan negeri yang sedia ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Naib Pengerusinya, Datuk Bakri Sawir berkata, gelombang Perikatan Nasional (PN) yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mampu menembusi keutuhan komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“PRU14 yang lepas kita akui, gelombang hijau mendapat tempat di beberapa saluran pengundi, terutama golongan muda.

“Tapi berdasarkan prestasi Kerajaan Perpaduan, sokongan pengundi muda terhadap PN semakin menurun.

“Sebab itu, saya yakin dan InsyaAllah (PRN nanti), kita tiada pembangkang dalam negeri ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Wakil rakyat AMANAH berkenaan mengulas demikian ketika ditanya perihal sokongan pengundi muda menjelang PRN nanti.

Selain itu, Bakri selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang sentiasa membuat program ramah mesra dan turun padang agar hubungannya dengan rakyat terjalin.

“Khidmat saya berteraskan konsep model insan dan kefahaman agama, jadi saya sentiasa melakukan aktiviti keagamaan seperti solat Subuh di setiap masjid.

“Program anak muda juga ditekankan seperti penganjuran bola sepak, e-sport dan program komuniti yang lain,” ujarnya lagi.

BACA JUGA AMANAH Negeri Sembilan terbuka terima agihan kerusi PRN