Selangor tekad rapatkan jurang kemiskinan, elak individu berlagak ‘Robin Hood’

Kerajaan negeri Selangor bertekad untuk mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin supaya ia tidak terus melebar.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pelbagai program dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor sejak 2008 telah banyak membantu menjaga kebajikan rakyat negeri itu.

Beliau berkata sekiranya jurang itu tidak ditangani dengan sebaiknya ia boleh membawa kesan buruk termasuk peningkatan kadar jenayah.

“Kalau kita melihat jurang orang yang terlalu kaya dengan orang yang terlalu miskin, sekiranya terlalu jauh perbandingannya dikhuatiri akan menimbulkan rasa iri hati dan dengki.

“Maka nanti akan muncul kes-kes seperti samun dan rompak dalam kalangan orang miskin yang berkemungkinan menjadi berlagak seperti ‘Robin Hood’.

“Rakyat Selangor tidak perlu menjadi ‘Robin Hood’ yang merompak harta orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin,” katanya.

Zawawi yang juga wakil rakyat Sungai Kandis berkata demikian kepada Harapan Daily ketika ditemui di bangunan SUK Shah Alam, baru-baru ini.

Tambah beliau, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga telah banyak membawa umat Islam di negeri itu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Sebab itu konsep Islam, orang kaya wajib bayar zakat yang kemudiannya akan digunakan untuk membiayai orang miskin.

“Di Selangor ada 65,000 ketua keluarga yang asnaf dan mereka ini dibantu dengan duit zakat,” ujarnya.

Menurutnya, di negeri Selangor taraf kehidupan masyarakat golongan miskin dan kaya menjadi bertambah baik kerana semakin banyak manfaat dapat dirasakan oleh mereka.

Pada Belanjawan Selangor 2023, kerajaan Selangor telah memperuntukkan RM2.4 bilion untuk kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi serta memakmurkan negeri.

Kerajaan negeri turut memfokuskan perbelanjaan bagi program kebajikan, infrastruktur, kesihatan awam, pendidikan dan perumahan.